Uncategorized

Ketidaksengajaan Fuziah kongsi video lama dilindungi undang-undang

Penasihat DAP Perak Ngeh Koo Ham mendakwa Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh tidak melakukan kesalahan jenayah terhadap tindakannya berkongsi video lama keadaaan huru-hara di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru.

Koo Ham mendakwa, undang-undang negara melindungi mereka daripada apa-apa pendakwaan jenayah sekiranya terdapat kekhilafan atau kesilapan yang disebabkan oleh kesilapan fakta.

Ahli Parlimen Beruas itu juga berkata, beliau khuatir terhadap amaran Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri  Yaakob untuk mengambil tindakan tegas terhadap media yang membuat laporan yang tidak tepat dan mengelirukan.

“Fuziah dan media mempunyai kewajipan untuk memastikan rakyat dimaklumkan tentang peristiwa-peristiwa terkini dan undang-undang kita melindungi mereka daripada apa-apa pendakwaan jenayah sekiranya terdapat kekhilafan atau kesilapan yang disebabkan oleh kesilapan fakta.

“Di bawah undang-undang jenayah negara kita, mens rea ( niat untuk melakukan jenayah ) merupakan asas sebelum sebarang tindakan itu boleh dikatakan sebagai satu tindakan jenayah. Kesilapan fakta adalah satu pembelaan lengkap di bawah Undang-Undang Am (Common Law) dan juga di bawah Kanun Keseksaan kita (Seksyen 76 & 79),” kata Koo Ham dalam satu kenyataan akhbar.

Dua hari lalu polis merakam keterangan Fuziah berhubung rakaman video orang ramai menyerbu Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin Sultan Iskandar (CIQ) di Johor Bahru yang dimuat naik menerusi akaun Facebook (FB) miliknya.

Siasatan diklasifikasi mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

“Kita seharusnya menunjukkan mana-mana kesilapan atau kekhilafan yang telah berlaku dan meminta pembetulan terhadap kesilapan atau kekhilafan tersebut dibuat.

“Ia adalah satu penyalahgunaan kuasa untuk mengambil tindakan terhadap seseorang yang membuat kesilapan yang tidak disengajakan kerana undang-undang adalah jelas bahawa orang itu tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah,” kata Koo Ham.

Pada 10 April lalu selepas mendakwa pekerja Malaysia di Singapura membuat percubaan untuk balik beramai-ramai ke negara ini di Facebook (FB), Fuziah membuat permohonan maaf secara terbuka.

Permohonan maaf itu dibuat setelah hantaran berkenaan dipadam.

“Admin mohon maaf tersilap post video lama dan sudah pun di delete. Harap tidak menyebabkan panic!,” tulis admin FB Fuziah Salleh.

FB rasmi bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu memuatnaik status gempar apabila mendakwa berlaku keadaan tidak terkawal di bangunan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ).

Hantaran beliau kemudiannya turut dikongsi oleh pengguna Facebook yang bimbang dengan keadaan tersebut yang akan menyebabkan merebaknya virus maut Covid-19.-SM

 

 

(Visited 294 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button