Nasional

Saranan isu doktor junior ke Jemaah Menteri

HASIL sesi libat urus dengan pihak berkepentingan mengenai isu dihadapi doktor junior termasuk saranan Kementerian Kesihatan (KKM) akan dikemukakan kepada Jemaah Menteri “tidak lama lagi”.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, Jemaah Menteri menubuhkan “jawatankuasa peringkat tinggi” untuk mengkaji situasi dihadapi doktor kontrak.

“Beberapa sesi libat urus diadakan dengan Persatuan Perubatan Malaysia, pihak berkaitan serta kementerian lain,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran program “Kenali Ubat Anda” untuk orang kurang upaya (OKU).

“Hasil sesi libat urus ini belum dibawa ke Jemaah Menteri, tetapi (akan dikemukakan) tidak lama lagi, bersama saranan,” katanya.

Zaliha menjawab kenyataan kumpulan Hartal Doktor Kontrak yang menggesa tindakan segera diambil untuk mengelak krisis dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Hartal memuji keputusan kerajaan memberikan penempatan tetap untuk 4,000 doktor kontrak tetapi katanya, langkah itu boleh mencetuskan “krisis kritikal” dalam sektor penjagaan kesihatan.

Ini disebabkan kekurangan tenaga kerja di banyak fasiliti apabila doktor terbabit melengkapkan peralihan mereka menjelang akhir Julai.

Sementara itu, dalam ucapannya pada majlis tersebut, Zaliha berkata, penting untuk mendidik orang ramai mengenai penggunaan ubat yang betul dan meningkatkan “celik kesihatan” dalam kalangan rakyat terutama OKU.

Katanya, bahaya jika orang ramai membeli ubat-ubatan hanya berdasarkan pengetahuan sendiri, tanpa mendapatkan nasihat yang tepat.

Beliau berkata, pengalaman wabak Covid-19 menunjukkan maklumat salah berkaitan kesihatan boleh tersebar dengan mudah dalam kalangan orang ramai, dan program jangkauan penting untuk menggalakkan penyebaran maklumat tepat bagi memerangi penyalahgunaan ubat.

Zaliha berkata, ejen kesihatan bawah program “Kenali Ubat Anda” akan menerima latihan untuk memperkasakan usaha masyarakat dalam penggunaan ubat yang betul. – SUMBER FMT – SM

(Visited 126 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button