Nasional

Pelaksanaan DLP martabat bahasa Melayu, perkukuh bahasa Inggeris – Fadhlina

Kementerian Pendidikan beriltizam untuk terus berusaha memartabatkan penguasaan bahasa Melayu dan meningkatkan mutu pendidikan bahasa Inggeris, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek
Dalam kenyataan yang dikeluarkan,  beliau berkata, Program Dwibahasa (DLP) yang menjadi polemik baru-baru ini merupakan sebahagian daripada Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).
Beliau berkata lawatan di lapangan menunjukkan terdapat murid di sekolah yang melaksanakan DLP tidak mencapai tahap penguasaan asas bahasa Melayu dan bahasa ibunda.
“Oleh itu, sekolah yang bersetuju untuk melaksanakan DLP wajib memastikan semua kriteria dipenuhi, termasuklah penguasaan bahasa Melayu. Pada masa yang sama, penguasaan bahasa ibunda perlu dipelihara sebagai teras kepada keabsahan pelaksanaan bahasa ibunda di sekolah vernakular,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Fadhlina berkata berdasarkan Garis Panduan Pelaksanaan DLP Kementerian Pendidikan (KPM) tahun 2021 bertarikh 26 November 2020, sekolah yang melaksanakan DLP perlu memastikan agar peluang murid yang lain untuk mengikuti mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa kebangsaan atau bahasa ibunda tidak terjejas.
Beliau berkata pengurusan pelaksanaan DLP adalah melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing dan pihak sekolah diberikan kebenaran untuk membuka lebih satu kelas DLP bagi murid tahun satu dan tingkatan satu berdasarkan kesediaan sekolah serta penilaian oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan JPN.
Fadhlina berkata kelulusan pelaksanaan DLP tertakluk kepada keputusan KPM berdasarkan kes-kes setiap sekolah dan mengambil pendekatan manusiawi iaitu murid-murid kohort sedia ada masih dibenarkan untuk meneruskan kelas DLP.
Bagaimanapun, beliau berkata sekolah perlu mematuhi garis panduan sedia ada bagi kohort baharu murid tahun satu dan tingkatan satu pada sesi 2024/2025.
Beliau berkata JPN seterusnya bertanggungjawab untuk memetakan sekolah menengah penerima bagi memastikan setiap kohort murid dapat meneruskan pembelajaran dalam kelas yang melaksanakan DLP di peringkat menengah.
KPM katanya, akan terus memantau dan memberikan penerangan mengenai pelaksanaan DLP kepada pentadbir sekolah mengikut keperluan dan terbuka kepada cadangan serta keperluan inisiatif lanjut daripada masyarakat termasuklah mengadakan sesi dialog bersama pihak berkepentingan. – SM
(Visited 103 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button