BeritaNasional

Bersatu hadapi apa juga keadaan – Raja Muda Perlis

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah supaya umat Islam sentiasa bersatu padu di dalam menghadap apa juga keadaan.

Baginda bertitah, sikap saling membantu tanpa mengira perbezaan latar belakang, bahasa dan budaya perlu diamalkan walau di mana sahaja berada.

“Kesatuan ini sebenarnya amat penting bagi memajukan umat Islam dan meninggikan martabat serta imej Islam di mata orang bukan Islam,” demikian titah baginda di Dewan Orangramai Masjid Kho Klang, Krabi di sini semalam.

Keberangkatan baginda yang turut diiringi Timbalan Gabenor Wilayah Krabi, Somkuan Khan-Ngern ke pulau berkenaan ialah sempena ‘Program Ziarah Mahabbah Sempena Sambutan 100 Tahun Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)’ selama tiga hari dari 10 hingga 12 Januari.

Turut hadir di majlis ini, Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man yang turut menyampaikan kata-kata aluan kepada hadirin di awal majlis dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Pada majlis ini, baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada asnaf dan anak yatim terpilih seramai 30 orang dari kalangan anak kariah di situ dan juga kepada masjid berkenaan.

Selain itu, baginda turut melancarkan projek Satu Kampung Satu Produk (OTOP) yang baru sahaja diwujudkan di salah sebuah restoran makanan laut yang terdapat di pulau berkenaan.

Kesemua ahli rombongan menaiki bot untuk sampai ke perkampungan ini sebelum bergerak menaiki beca ‘cole’ ke Masjid Koh Klang.

Sementara itu Tuanku Syed Faizuddin Putra juga mengingatkan supaya hubungan persaudaraan sesama Islam, kebudayaan dan sejarah antara Perlis di Malaysia dengan Krabi akan terus terjalin erat, mesra dan kukuh.

Baginda bertitah, kerjasama yang kukuh dan perkongsian maklumat dan sistem pengurusan Islam di antara Malaysia-Thailand juga akan memberikan manfaat khususnya kepada ummah itu sendiri dan kepada kedua-dua buah negara amnya.

Sebagai info, Pulau Koh Klang ini didiami seramai 5,000 orang penghuni yang kebanyakannya bekerja dalam industri perikanan dan laut. Ia mempunyai empat buah masjid.

(Visited 65 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button