Nasional

Perkeso laksana Bulan Pemutihan hingga 30 Jun

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (Perkeso) melaksanakan Bulan Pemutihan bermula semalam hingga 30 Jun ini bagi memberi lebih peluang dan ruang kepada majikan untuk mendaftarkan pekerja mereka secara sukarela.

Ketua Eksekutif Perkeso, Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, ini merupakan kali pertama agensi itu melaksanakan Bulan Pemutihan selama dua bulan berbanding hanya sebulan sebelum ini.

“Tujuannya bagi memberi kesempatan kepada majikan mendaftar dan mencarumkan pekerja yang digajikan untuk operasi perniagaan susulan perkembangan ekonomi pasca pandemik Covid-19.

“Justeru Perkeso menyeru semua majikan yang layak dan masih belum mendaftar dan mencarum (untuk pekerja) supaya segera berbuat demikian secara sukarela sama ada dalam talian melalui Portal ASSIST atau hadir ke mana-mana 54 pejabat Perkeso di seluruh negara, atau hubungi Careline Perkeso di 1-300-22-8000,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata, sepanjang tempoh Bulan Pemutihan itu, majikan akan dikecualikan daripada tindakan pengkompaunan, pendakwaan dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) walaupun telah melewati tempoh mendaftar dan mencarum yang ditetapkan.

Menurut Azman, selepas Bulan Pemutihan, Perkeso akan melaksanakan Ops Kesan 2023 bermula Julai ini selaras dengan kerangka Malaysia Madani oleh kerajaan, bagi memastikan pekerja dalam negara, tidak kira domestik atau asing, mendapat perlindungan keselamatan sosial.

“Ops Kesan bertujuan memastikan semua majikan yang menggajikan sekurang-kurangnya seorang pekerja (tanpa mengira jumlah gaji) mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka sebagaimana peruntukan Seksyen 4 dan 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) serta Seksyen 14 dan 16 Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

“Menerusi operasi ini, Perkeso akan mengerahkan lebih 500 pegawai pemeriksa untuk mengenal pasti majikan yang gagal mendaftar dan mencarum dengan Perkeso bagi memastikan setiap pekerja yang layak, mendapat perlindungan keselamatan sosial demi kesejahteraan mereka sekiranya ditimpa sebarang musibah yang tidak dijangka,” katanya.

Beliau mengingatkan kegagalan majikan mendaftarkan perusahaan dan pekerja mereka merupakan satu kesalahan yang boleh dikompaun sehingga RM5,000 dan pendakwaan mengikut kesalahan yang dilakukan.

“Selain itu, majikan juga akan dikenakan FCLB pada kadar 6% setahun atas setiap hari caruman lewat dibayar, ekoran kegagalan mendaftar dan membayar caruman Perkeso.

“Sekiranya majikan didakwa di mahkamah dan jika disabit kesalahan, mereka boleh dijatuhi hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara,” katanya.

BACA PERKESO, JPM sediakan pekerjaan kepada bekas banduan

(Visited 162 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button