NasionalNegeri

B40 paling tinggi tertunggak sewa PPR Sena kini cecah RM1,907,671

GOLONGAN rentan B40 dikenalpasti paling tinggi tertunggak sewa rumah di Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Sena, Kangar yang kini mencecah RM1,907,671 sehingga 31 Oktober lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, ianya hasil semakan silang dengan agensi pemberi bantuan yang mendapati penyewa berkenaan majoriti tunggakan tertinggi adalah golongan ini.

Ai Ling bertanya soalan berhubung tunggakan sewa PPR Sena pada Sidang DUN Perlis. – Gambar Ihsan FB UPNPs

Beliau berkata, mereka ini juga berdaftar dengan eKasih dan merupakan penerima bantuan Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Ini merupakan cabaran utama dalam mendepani isu ini yang melibatkan aspek sosial dan kebajikan rakyat,” katanya ketika menjawap soalan Gan Ay Ling (Keadilan – Indera Kayangan) pada Sidang DUN Perlis di Kompleks DUN Kangar hari ini.

Katanya, sekiranya mereka ini ditamatkan sewaan dan diusir keluar daripada PPR, ianya tidak akan menyelesaikan masalah kebajikan dan kesejahteraan golongan rentan terbabit.

“Tunggakan hutang tersebut juga harus dijelaskan sepenuhnya tidak kira sama ada masih mendiami atau tidak PPR tersebut,” katanya.

Justeru itu katanya, ianya perlu dilaksanakan secara berhemah dan memerlukan tempoh masa panjang dalam memberi kesedaran dan advokasi tentang tanggungjawab dan amanah dalam melangsaikan hutang.

“Jadi, dalam masa terdekat ini pemutihan data penghuni akan kita buat untuk kita pastikan yang mana betul-betul layak sahaja yang kita akan berikan penempatan seterusnya bagi mereka tinggal di situ memandangkan ramai lagi yang diluar sana yang memerlukan penempatan seumpama itu,” katanya.

Asrul Aimran berkata, kerajaan negeri melalui Bahagian Pembangunan dan Pengurusan Hartanah (BPPH) juga telah melaksanakan tindakan Ops Sedar.

“Ia termasuk mengeluarkan notis peringatan tunggakan sewaan secara konsisten, memberi notis maklumat (flyers) kesedaran kepada penghuni PPR berkenaan tanggungjawab dan kesan tunggakan termasuklah melalui media sosial,” katanya.

Selain itu, katanya senarai top 40 penyewa yang mempunyai hutang tertinggi pada setiap dwi bulan dipamerkan bagi tujuan kesedaran. – SM

(Visited 85 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button