Nasional

Melaka negeri paling selamat didiami

Jenayah indeks menurun sepanjang tempoh Januari hingga Mei

Wartawan Suara Merdeka

JASIN 14 Jun – Melaka dilabelkan sebagai sebuah negeri yang sangat kondusif untuk didiami kerana jenayah
indeks dicatatkan sepanjang tempoh lima bulan lalu adalah paling rendah berbanding negeri-negeri lain.

Ketua Polis negeri, Datuk Zainol Samah berkata, sebanyak 605 kes dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Mei
lalu berbanding 619 kes bagi tempoh yang sama tahun lalu, indeks itu menurun sebanyak 14 kes atau 2.26
peratus.

Menurutnya, sebanyak 318 kes berjaya diselesaikan daripada 605 kes jenayah indeks yang dicatatkan dalam
tempoh lima bulan iaitu pencapaian sebanyak 52.56 peratus.

“Lihat kepada statistik indeks jenayah di negeri ini menunjukkan penurunan namun ada beberapa jenayah lain
menunjukkan sedikit peningkatan.

“Bagi pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), kita sentiasa mengambil tindakan proaktif mendapatkan maklumat
bagi mengesan penjenayah terbabit, setakat sekarang alhamdulillah keselamatan dan jenayah di negeri ini
terkawal,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Townhall Bembaku Maju Jaya di
pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelaras (Japerun) Bemban, Jasin dekat sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Penyelaras DUN Bemban, Datuk Hasan Abd. Rahman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran
Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shahdan Othman dan Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah.

Mengulas lanjut Zainol berkata, bagi statistik jenayah di kawasan MPHTJ pula menunjukkan graf peningkatan
sebanyak 18 kes atau 23 peratus daripada 90 kes bagi Januari hingga Mei lalu.

Menurutnya, bagi tempoh yang sama tahun lalu sebanyak 80 kes dicatatkan bagi tempoh lima bulan di kawasan
berkenaan.

Beliau berkata, bagi Japerun Bemban pula sebanyak enam kes jenayah indeks dicatatkan sama bagi tempoh yang
sama tahun lalu.

Katanya, sesi Townhall yang diadakan itu adalah manifestasi komitmen PDRM bagi memberikan perkhidmatan
yang berkualiti dan efisien bagi memenuhi ekspektasi masyarakat dalam konteks penyampaian perkhidmatan.

Jelasnya, Polis Melaka akan terus berikrar untuk mempergiatkan usaha menangani masalah jenayah di negeri
ini sepanjang masa.

(Visited 305 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button