Luar Negara

Singapura tiada kluster aktif Covid-19

SINGAPURA yang melaporkan jumlah jangkitan Covid-19 sebanyak 58,183 setakat ini, telah menutup kluster koronavirus terakhir, sebuah asrama pekerja asing pada Selasa.

Memandangkan tiada lagi kes dikaitkan dengan kluster di Cassia@Penjuru, sejak dua tempoh inkubasi selama 28 hari, kluster itu kini telah ditutup, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu.

“Dengan penutupan kluster ini, tiada kluster aktif Covid-19 buat kali pertama sejak 3 Feb 2020,” menurut kenyataan itu yang dikeluarkan lewat malam tadi.

Singapura melaporkan kluster pertamanya pada 4 Februari melibatkan kedai ubat Cina.

Pada Selasa, MOH mengklasifikasikan 1,410 kes yang dilaporkan sebagai import, kes komuniti sebanyak 2,271 dan 54,502 melibatkan penghuni asrama.

Kira-kira 99 peratus atau 58,079 kes telah pulih sepenuhnya manakala 37 kes yang disahkan masih dirawat di hospital dengan seorang pesakit dalam keadaan kritikal dan ditempatkan di unit rawatan rapi.

Sementara itu, 39 pesakit yang mempunyai gejala ringan atau secara klinikal baik tetapi masih diuji positif bagi Covid-19, telah diasingkan dan dijaga di pusat kemudahan komuniti.

Setakat ini 28 orang meninggal dunia akibat komplikasi Covid-19 di republik itu dengan dua kematian pertama dilaporkan pada 21 Mac.

Pada tengah hari Selasa, Singapura melaporkan 18 kes positif baharu yang 15 daripadanya adalah asimptomatik.

Tiada kes baharu jangkitan Covid-19 tempatan dilaporkan sejak 11 Nov.-BERNAMA

(Visited 84 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button