JenayahNasional

Pesara rugi RM373,000 ditipu macau scam

LAGI kes “macau scam”. Kali ini, seorang pesara kerajaan di Arau, Perlis terpaksa berputih mata apabila duitnya berjumlah RM373,000 lesap. Ini berikutan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Arau, Perlis telah menerima laporan dari mangsa yang berusia 61 tahun ini semalam (20 April).

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perlis, Superitendan, Wan Aeidil Wan Abdullah berkata, mangsa telah menerima panggilan daripada syarikat insurans berhubung tuntutan bayaran pampasan rawatan dan perubatan atas dasar kemalangan.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersial menyediakan risalah lengkap untuk orang ramai berhati-hati.

“Suspek kemudiannya menyambungkan talian ini kepada seorang pegawai polis yang mendakwa kononnya mangsa telah terlibat dalam penggubahan wang haram,” katanya dalam satu kenyataan media di sini.

Wan Aeidil berkata, sekali lagi suspek menyambungkan talian kononnya kepada pegawai siasatan komersial KL yang menggelar diri “Puan Yong” dan mengatakan mangsa terlibat dalam penggubahan wang haram.

Beliau berkata, suspek kemudian mengarahkan mangsa memasukkan kesemua duit simpanannya ke dalam salah satu akaun milik mangsa.

“Mangsa juga diminta untuk mendaftar nombor telefon suspek ke atas nombor akaun tersebut,” katanya.

Wan Aeidil berkata, suspek kemudiannya meminta mangsa untuk membuat pemindahan wang ke akaun yang lebih selamat.

“Mangsa yang percaya kemudiannya menyerahkan semua maklumat mengenai akaun miliknya itu kepada suspek sehingga menyebabkan berlaku pemidahan wang secara atas talian tanpa beliau sedar,” ujarnya.

Katanya, transaksi pemindahan wang oleh mangsa berlaku sejak November 2021 hingga April 2022.

Beliau berkata, sekali lagi sindiket ini bersifat rakus dan tidak berperikemanusiaan apabila memaksa mangsa membuat pinjaman peribadi setelah kesemua simpanannya habis.

Katanya, ini telah menyebabkan mangsa mengalami kerugian sebanyak RM373,000.

“Mangsa menyedari dirinya ditipu apabila membuat semakan akaun bank, duit cuma berbaki RM124.20,” katanya.

Sehubungan itu, Wan Aeidil berkata, pihaknya telah membuka satu kertas siasatan dan akan menyiasat kes ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK).

Beliau berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati dua talian yang digunakan suspek bersangkut dengan 25 lagi kes keseluruhan di negara ini.

Wan Aeidil menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah panik dan percaya jika mendapat panggilan sedemikian.

“Bertanyalah dan buat semakan dahulu sebelum mengikut apa-apa arahan yang hanya dilakukan melalui talian telefon,” ujarnya. – SM

(Visited 593 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button