Nasional
Trending

Kerana nasi lemak bungkus, 24 individu kena naik mahkamah

GARA-GARA-gara berkumpul untuk membeli nasi lemak bungkus dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam, 24 individu termasuk tujuh remaja dihadapkan ke Mahkamah Majistret di George Town hari ini kerana ingkar arahan PKP.

Kesemua tertuduh termasuk seorang penjual nasi lemak yang berusia 16 hingga 40 tahun itu mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati.

Nur Azzuin memerintahkan 17 individu termasuk dua wanita dikenakan hukuman khidmat masyarakat selama tiga jam setiap hari dalam tempoh tiga bulan.

Kesemua mereka perlu melapor diri kepada Jabatan Penjara Malaysia di bawah Akta Perintah Kehadiran Wajib Pesalah-pesalah (PKW) 1954 yang pihak penjara akan menentukan jenis khidmat masyarakat yang perlu dilakukan oleh individu berkenaan.

PKW yang merupakan program khidmat masyarakat adalah perintah alternatif selain hukuman penjara.

Bagi kes tujuh remaja lelaki, mahkamah menetapkan 18 Jun untuk sebutan bagi penyerahan laporan akhlak sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman dan mereka dibebaskan dengan ikat jamin RM1,000 berserta seorang penjamin setiap seorang.

Kesemua tertuduh mengaku melakukan kesalahan itu dengan berkumpul untuk membeli nasi lemak bungkus di sebuah rumah di  Mukim 3, Sungai Pinang, Balik Pulau, dekat sini yang berada di dalam kawasan wabak COVID-19 pada 2 pagi, semalam.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 3(2) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shafiq Mohd Sazali dan Haresh Prakash Somiah manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Edmund Herman. – BERNAMA

(Visited 429 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button