Nasional

Kekerapan tren, bas di Lembah Klang dikurangkan mulai esok

Bergantung kepada tempoh PKPB

BERMULA esok sehingga arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan ke atas Putrajaya, Kuala Lumpur dan negeri Selangor berakhir, perkhidkatan tren LRT, MRT dan monorel akan dikurangkan.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana Malaysia (Prasarana) Datin Norlia Noah berkata, pihaknya telah mendapat kebenaran daripada Kementerian Pengangkutan untuk mengimbangi kekerapan tren berdasarkan permintaan ekoran penurunan besar aliran penumpang akibat PKPB.

Beliau berkata, perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel ini bagaimanapun akan beroperasi mengikut masa yang sama iaitu dari pukul 6 pagi hingga tengah malam.

Hanya kekerapan berubah mengikut masa dan permintaan, katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, kekerapan tren untuk perkhidmatan LRT Laluan Ampang/Sri Petaling, LRT Laluan Kelana Jaya, Laluan Monorel dan MRT Laluan Kajang kini adalah mengikut kekerapan masa antara 2.8 dan 9.9 minit, bergantung pada waktu puncaknya.

“Kekerapan yang ditetapkan ini bagaimanapun adalah sekadar panduan. Operasi tren di semua laluan dipantau rapi Pusat Kawalan Operasi, yang diberi kuasa untuk menambah tren sekiranya diperlukan kerana peningkatan dalam permintaan pada masa-masa tertentu,” katanya.

Pada masa sama, Norlia memaklumkan, kekerapan bagi perkhidmatan bas Rapid KL dan bas perantara Jom Naik MRT turut dikurangkan mulai esok kerana permintaan yang menurun dengan banyak dalam tempoh PKPB ini termasuk pada waktu puncak. – SM

(Visited 255 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button