Nasionalpilihan

Parti Putra Melaka minta PDRM, SPRM siasat Marris

Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Melaka membuat satu laporan di Balai Polis Ayer Keroh meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dengan terperinci susulan tular sebuah klip video berdurasi lima minit 19 saat sejak beberapa hari lalu mengaitkan Ab. Rauf dengan pemberian konsesi di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris).

Laporan yang dibuat kira-kira pukul 4.26 petang semalam adalah berkaitan pemberian konsesi di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris).

Ketua Wiranita Melaka, Laila Norinda Maon berkata, beliau terpanggil membuat laporan berkenaan selepas menonton klip video tersebut di laman sosial Facebook yang dengan jelas mengaitkan nama
Pengerusi Jawatankuasa Kanan Pelaburan Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri yang dikaitkan dengan penyelewengan Marris.

“Saya buat laporan itu atas dasar dua perkara yang pertama saya mewakili Parti Putra Melaka menyokong video berkenaan yang menyuarakan rasa tidak puashati berhubung isu tersebut.

“Selain itu, saya sebagai rakyat Melaka juga tidak puas hati kenapa apabila rakyat telah memberi mandat kepada pemimpin tersebut hingga membuat keputusan sewenang-wenangnya.

“Sepatutnya jawatan yang mereka sandang itu adalah untuk membantu rakyat dan bukannya untuk menekan rakyat justeru saya meminta PDRM dan SPRM untuk menyiasat isu berkenaan ada kemungkinan
berlaku rasuah atau sebaliknya,” ujarnya ketika ditemui selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, malam tadi.

Laila Norinda yang juga Ahli Dewan Tertinggi Putra Pusat berkata, melalui video berkenaan menyebut duit Marris duit sepatutnya diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) Melaka untuk
membantu kontraktor-kontraktor kecil membangunkan perniagaan mereka tetapi telah dilencongkan ke Perbadanan Ketua Menteri (CMI).

Jelasnya, tindakan itu kononnya diarahkan oleh Ab. Rauf tanpa persetujuan dan perbincangan daripada pihak lain.

“Saya mohon pihak berkuasa memandang serius dakwaan tersebut dan tindakan undang-undang perlu diambil jika ia melibatkan salah guna kuasa dan rasuah,” ujarnya.

Parti Putra Melaka katanya, membantah sekeras-kerasnya jika ada pemimpin yang menyalahgunakan kuasa mahupun mempunyai agenda atas kepentingan sendiri dan menggunakan harta kerajaan untuk
kepentingan diri mereka. – SM

(Visited 240 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button