Nasional

SOP penyembelihan korban di Perlis

TITAH PERUTUSAN DYTM TUANKU YANG DIPERTUA MAIPs BERKAITAN PERINCIAN SOP IBADAH KORBAN 1442H

Dengan kurnia limpah perkenan DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, bersempena ketibaan Bulan Zulhijjah 1442H yang mulia rentetan Titah Perutusan terdahulu [MAIPs. 100 – 6 Jld 7 (108)] bertarikh 19 Jun 2021 bersamaan 9 Zulkaedah 1442H, adalah dimaklumkan bahawa Baginda telah memperkenankan beberapa perincian SOP ibadah korban seperti berikut:

Penganjuran Ibadah Korban

1. Semua masjid adalah dibenarkan untuk mengelola dan menganjurkan ibadah korban tertakluk kepada SOP keselamatan dan kesihatan yang ditetapkan manakala pelaksanaan oleh Jabatan / Agensi Kerajaan dan NGO adalah tidak dibenarkan. Orang perseorangan atau perkumpulan (termasuk penyembelihan yang dilaksanakan di rumah sembelihan kerajaan dan swasta) hendaklah membuat permohonan melalui masjid untuk dimajukan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs). Sehubungan itu, pihak masjid perlu membuat hebahan berkaitan keperluan pendaftaran ibadah korban dalam sesuatu kariah untuk mempermudahkan perancangan dan penyusunan tindakan.

2. Jawatankuasa Kariah Masjid yang mengelolakan ibadah korban hendaklah mengemukakan “Borang Permohonan Ibadah Korban Tahun 1442H/2021M Negeri Perlis” kepada Bahagian Dakwah dan Takmir JAIPs selewat-lewatnya 7 hari dari tarikh 10 Zulhijjah 1442H. Borang permohonan boleh diperolehi di Bahagian Dakwah dan Takmir Masjid atau dimuat turun dari laman rasmi Pihak Berkuasa Agama.

Lokasi kawasan penyembelihan & penyediaan tempat

3. Seperti titah terdahulu, pelaksanaan ibadah korban (penyembelihan haiwan korban) hanya boleh dilakukan di kawasan-kawasan berikut:

a) Rumah sembelihan milik kerajaan;

b) Rumah sembelihan milik swasta;

c) Masjid (Surau dan Sekolah Agama KEKAL TIDAK DIBENARKAN); dan

d) Premis persendirian yang mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Perlis DAN JAIPs.

4. Jawatankuasa Kariah Masjid perlu membuat semakan bagi penyediaan tempat yang sesuai dalam kariah berkenaan walaupun bukan dalam kawasan masjid untuk tujuan pelaksanaan proses penyembelihan, melapah, memotong dan mengagihkan korban. Kriteria tempat adalah seperti berikut:

a) Bersih dan tidak tercemar;

b) Mempunyai pengudaraan yang baik; dan

c) Saiz yang sesuai untuk penjarakan pada setiap masa;

5. Jawatankuasa Kariah Masjid selaku penganjur korban hendaklah menanda, menyukat dan memasang tanda penjarakan fizikal dengan mengambil kira ketetapan seperti berikut:

a) Jarak antara haiwan korban dengan haiwan korban yang lain di lokasi sembelihan dan melapah adalah sekurang – kurangnya 5 meter.

b) Penjarakan fizikal antara petugas di lokasi memotong, menimbang, membungkus dan mengagih adalah sekurang-kurangnya 1 meter.

6. Keseluruhan tapak penyembelihan, melapah, memotong dan mengagih hendaklah disanitasi.

Jadual sesi pelaksanaan

7. Selain kriteria di atas, Jawatankuasa Kariah Masjid hendaklah memastikan hanya 5 ekor binatang korban dilaksanakan pada sesuatu masa di sesuatu tempat. Jadual yang jelas dan tersusun hendaklah diwujudkan dan disarankan untuk mengoptimumkan ibadah korban pada hari-hari yang disyariatkan bermula selepas solat sunat hari raya Aidiladha sehingga sebelum masuk waktu Maghrib pada 13 Zulhijjah. Sesi-sesi berbeza hendaklah ditetapkan untuk mengekalkan pematuhan SOP, serta waktu-waktu solat fardu hendaklah dihormati sepenuhnya.

Syarat-syarat dan SOP sebagai petugas

8. Syarat-syarat sebagai petugas adalah seperti berikut:

a) Petugas hendaklah terdiri daripada anak kariah sahaja yang berusia antara 18 tahun hingga 59 tahun. Walaubagaimanapun, bagi petugas yang berusia 60 tahun dan ke atas, adalah dibenarkan dengan syarat lengkap 2 Dos suntikan vaksin Covid-19.

b) Bukan daripada kalangan mereka yang terlibat dengan aktiviti rentas sempadan / negeri sama ada dengan kebenaran atau tanpa kebenaran termasuk yang berulang alik bekerja pada setiap hari. Demikian juga ahli keluarga mereka yang tinggal bersama tidak dibenarkan hadir melainkan ahli keluarga yang telah lengkap 2 dos suntikan vaksin.

c) Memakai pelitup separuh muka. (Digalakkan memakai 2 pelitup muka [double face masks] serta ditambah baik dengan pemakaian bersama pelindung muka [face shield]);

d) Memakai sarung tangan dan apron bergred kesihatan. Digalakkan untuk penganjur korban menyediakan alat perlindungan yang dinyatakan ini dengan warna dan kualiti yang seragam.

e) Sentiasa melaksanakan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter pada setiap masa;

f) Tidak melaksanakan sebarang kontak fizikal seperti bersalaman;

g) Mengimbas suhu badan dan melaksanakan rekod penjejakan sosial (mengimbas Kod QR Aplikasi MySejahtera atau mendaftar pada buku yang disediakan).

9. Jumlah petugas dalam sesuatu masa hendaklah tidak melebihi 12 orang bagi setiap haiwan korban. Walaubagaimanapun, dibolehkan untuk dilaksanakan penggiliran antara para petugas.

10. Selain para petugas yang akan melaksanakan tugasan penyembelihan, melapah, memotong dan mengagih secara bergilir, Jawatankuasa Kariah Masjid juga diminta untuk melaksanakan pemantauan bagi memastikan SOP pelaksanaan ibadah korban di premis yang ditentukan oleh Masjid dapat dipenuhi dengan sebaiknya.

11. Keadaan 3S iaitu bersesak-sesak (SESAK), ruang yang sempit / tertutup / rapat (SEMPIT) dan sembang / berbual-bual dalam jarak dekat (SEMBANG) hendaklah dielakkan sama sekali.

SOP Jamuan

12. Bagi mengurangkan risiko, tiada jamuan melibatkan daging korban boleh dilaksanakan di premis yang menyelenggarakan aktiviti ibadah korban. Walaubagaimanaapun dibenarkan jamuan secara bungkus untuk petugas tetap korban sahaja.

13. Adapun kenduri daging korban hendaklah disediakan dalam bentuk bungkusan dengan mematuhi SOP yang ditetapkan.

Menyentuh mengenai SOP pelaksanaan Solat Aidiladha bagi tahun 1442H yang berkemungkinan besar dilaksanakan di tanah lapang, pihak Berkuasa Agama akan membuat hebahan berkenaan setelah perbincangan mengenainya dimuktamadkan serta mendapat limpah kurnia perkenan DYMM Tuanku Raja Perlis selaku Ketua Agama bagi Negeri. InsyaAllah hebahan mengenainya akan dibuat sedikit masa lagi.

Kesediaan masyarakat dalam menyambut Aidiladha dengan norma baharu dan pematuhan SOP amatlah diperlukan demi menjaga maslahah dan kepentingan semua. Hayatilah semangat berkorban yang dituntut dalam ibadah ini dengan berkorban sedikit keselesaan pada hari ini, demi kebaikan pada hari mendatang.

Sesungguhnya, hebahan perincian SOP ini dizahirkan dengan penuh rasa tanggungjawab bagi mengurangkan risiko penularan Wabak Covid-19 di negeri Perlis tercinta. Justeru, semua pihak harus sedar akan tanggungjawab yang harus dimainkan khususnya sasaran mencapai indikasi 40 peratus daripada populasi penduduk lengkap dua suntikan dos vaksinasi Covid-19 sebagai ikhtiar kita untuk menjadikan peralihan Perlis kepada Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara menjadi kenyataan dalam masa yang segera.

MENJUNJUNG SYIAR MEMAJU UMMAH
1 KURUN MAIPs: MENGUKUH QIADAH, MENGISLAH UMMAH

 

SYED FAIZUDDIN PUTRA IBNI TUANKU SYED SIRAJUDDIN JAMALULLAIL
D.K., S.P.M.P., P.A.T.
Doctor of Education (Honoris Causa) La Trobe University, Melbourne, Australia
Honorary Doctorate In Management Science, Yala Rajabhat University, Thailand
Raja Muda Perlis

Yang DiPertua
Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis

Termaktub di Istana Arau
02600 Arau
Perlis

Bertarikh : 5 Julai 2021 bersamaan 24 Zulkaedah 1442H

(Visited 470 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button