Nasional

Tumpu isu pengangguran, beri BPN tambahan pada Sabah

Selepas Ahmad Zahid zahir UMNO dokong Kerajaan Perikatan Nasional

PERGERAKAN Pemuda UMNO mahu kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap jangkaan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bahawa 2.4 juta rakyat bakal kehilangan pekerjaan ekoran pandemik Covid-19.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kerajaan perlu segera menyediakan pelan tindakan khas bagi menangani isu tersebut.

“Mendesak agar Kerajaan segera menyediakan pelan tindakan khas (Blueprint) untuk menangani kemelut 2.4 juta rakyat yang bakal kehilangan pekerjaan.

“Dan lebih 1.26 juta rakyat yang dijangka mengalami kemiskinan bagi tempoh beberapa bulan akan datang (Sumber infografik KWSP),” kata Asyraf Wajdi.

Ketetapan itu diambil Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia yang bermesyuarat secara dalam talian malam tadi.

Pergerakan itu turut menyarankan agar Kerajaan Perikatan Nasional melanjutkan moratorium secara pukal sekurang-kurangnya bagi tempoh tiga bulan lagi.

Ini berikutan Covid-19 masih lagi mendatangkan ancaman bukan sahaja terhadap kesihatan manusia tetapi juga kepada ekonomi rakyat.

Selain itu, Kerajaan turut diminta untuk memberi tambahan Bantuan Prihatin Nasional kepada penerima di Sabah yang kini menjadi negeri paling kritikal diserang Covid-19.

“Meminta Kerajaan mempertimbangkan bantuan tambahan RM1,000 setiap penerima BPN Sabah yang cuma menelan kos RM737 juta.

“Ini jauh lebih pantas dan berkesan berbanding hantaran bantuan bakul makanan yang dirumitkan oleh masalah logistik dan rekod penerima yang tidak lengkap,” kata Asyraf Wajdi.

Pergerakan Pemuda UMNO turut mengambil ketetapan menyokong gencatan politik yang dicadangkan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam.

Katanya, gencatan politik tersebut boleh menghentikan segera sebarang polemik perebutan kuasa di saat rakyat susah dan gelisah mengharungi cabaran pandemik Covid-19 termasuk natijah kegawatan ekonomi yang melanda.

“Menolak sebarang kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahupun parti-parti dalam Pakatan Harapan terutamanya DAP untuk menjatuhkan Kerajaan sedia ada, hanya bertujuan memenuhi hasrat beliau menjadi Perdana Menteri,” kata Asyraf Wajdi.

Dalam kenyataan ringkas semalam, Ahmad Zahid menekankan bahawa UMNO melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani Koronavirus (Covid-19) dan membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan.

Katanya, ia juga bagi memastikan kegelisahan rakyat akibat hambatan ekonomi dapat ditangani dan diutamakan.

Ahmad Zahid berkata, kerjasama semua parti dalam kerajaan PN harus diperkasakan bagi menjamin kestabilan politik ketika negara menghadapi ancaman Covid-19 dan ketidaktentuan ekonomi.-SM

(Visited 108 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button