Hiburan

Sensasi seminggu: Dakwaan pengubahan wang haram, pedofilia, saman YouTuber jadi isu libatkan selebriti

Nampaknya minggu ini dunia hiburan tempatan sarat dengan isu-isu yang boleh dikatakan agak berat apatah lagi melibatkan dakwaan pengubahan wang haram dan pedofilia.

Lain macam sungguh isu-isu melibatkan selebriti tempatan minggu ini. Apa-apa pun, setiap yang berlaku itu ada pengajarannya.

Seperti biasa, bagi mereka yang terlepas isu-isu berkaitan berita selebriti ini, Suara Merdeka rangkumkan kesemuanya buat pembaca.

Kisah Shuib, Bubble Bee dan SPRM

Ramai yang memuji pelawak, Shuib yang ketika ini boleh dikatakan berjaya dengan perniagaan air miliknya yang diberi nama Bubble Bee.

Kedai Bubble Bee ini menjadi tular kerana setiap kali pembukaan cawangan baharu, pasti orang ramai terpaksa beratur panjang untuk merasai kesedapan air tersebut.

Namun, secara tiba-tiba keluar berita berkenaan rumah Shuib yang diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan didakwa berkait dengan pengubahan wang haram.

Buat masa ini, SPRM telah menahan lima individu yang disyaki terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram menggunakan modus operandi berkenaan.

Mereka termasuk dua wanita dipercayai memainkan peranan penting melaburkan wang hasil aktiviti pelaburan Macau Scam dan judi dalam talian dalam perniagaan diusahakan selebriti terkenal tanah air.

Shuib pula hanya dipanggil untuk memberi kenyataan berkaitan siasatan kes sahaja.

Pelawak itu yang disiasat selama 23 jam juga menganggap apa yang berlaku itu adalah satu dugaan kepadanya dalam dunia perniagaan.

Terkejut juga bila lihat apa yang berlaku cuma selepas ini, mungkin perlu disiasat dahulu siapa individu yang ingin melabur supaya tidak lagi berlaku seperti ini.

Alvin Chong didakwa pedofilia

Tak tahu nak salahkan siapa sebenarnya sebab Alvin dituduh pedofilia hanya kerana meluangkan masanya di sebuah kafe bersama seorang gadis bawah umur yang berusia 17 tahun.

Menariknya, gadis bernama Athalia Deena Buswani itu pula adalah anak kepada penyanyi, Sharifah Zarina.

Akibat tuduhan pedofilia itu telah membuatkan Alvin kerugian berpuluh ribu ringgit selepas tawaran kerjanya dibatalkan ekoran tuduhan tersebut.

Perkara ini dianggap Alvin sebagai buli siber terhadap dirinya apatah lagi hubungannya dengan Athalia tidak lebih daripada sekadar kerja sahaja.

Alvin bagaimanapun enggan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang menuduhnya seorang pedofil.

Baginya, dia hanya mahu individu itu sedar yang tindakan mereka hanya menyebabkan kerugian kepada orang lain.

Bagus tindakan Alvin ini cuma selepas ini mungkin dia perlu berhati-hati apatah lagi di media sosial yang penuh dengan pelbagai jenis manusia termasuk dengki dan tidak berhati perut.

Fazura sorok wajah anak, ikut sunnah katanya..

Kita tumpang gembira dengan kelahiran anak sulung pasangan selebriti Fazura dan Fattah Amin.

Sebenarnya rasa risau juga tengok Fazura sebab sebelum dia melahirkan, wanita ini cukup aktif dengan kerja-kerjanya yang memerlukan banyak pergerakan.

Jadi bila dah bersalin ini, rasa lega sangat cuma buat masa ini, hati yang teringin nak tengok wajah Fazura terpaksa ditahan dahulu sebab Fazura tak mahu tunjuk wajah anaknya.

Menurut Fazura, bukan niat sebenarnya dia hendak sorok wajah atau nama sulung anaknya itu, tetapi dia mengikut sunnah dengan mendedahkannya tujuh hari selepas bersalin.

Jadi, mana-mana mak cik bawang yang dah tak sabar nak samakan wajah bayi itu dengan Fattah atau Fazura nampaknya kenalah bersabar dahulu ya.

Apa-apa pun tahniah Fazura dan Fattah.

Isu curang, Syamsul Yusof mahu ambil tindakan saman

Bagus Syamsul Yusof. Kadang-kadang kita kena ambil tindakan tegas juga terhadap mereka yang sesuka hati nak buat tuduhan semata-mata nak dapatkan jumlah tontonan tinggi di YouTube.

Cerita Syamsul nak saman YouTuber ini bermula ekoran kontroversi rumah tangga yang melanda pelakon itu dengan isterinya, Puteri Sarah Liyana.

Puteri Sarah kemudian ada memuat naik beberapa gambar dan kata-kata berkaitan kecurangan dalam rumah tangga.

Perkara itu lantas dijadikan bahan cerita sama ada isu kecurangan menjadi penyebab rumah tangga pasangan ini goyah.

Namun, semata-mata nak mendapatkan jumlah tontonan tinggi, sebuah saluran YouTube dengan meletakkan tajuk yang mendakwa Syamsul seorang yang curang dan menjadi punca rumah tangga mereka retak.

Syamsul yang berang dengan tindakan YouTuber itu mengambil keputusan untuk menyaman sebagai tanda pengajaran supaya tidak membuat tuduhan melulu.

Kita sentiasa mendoakan yang terbaik buat rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah dan berharap supaya isu ini dapat selesai dengan segera dan baik.

Neelofa tak bercinta dengan PU Riz, kakak minta maaf

Seperti biasa, jawapan yang diberikan oleh selebriti dan usahawan popular, Neelofa berkaitan dengan kisah cintanya bersama Pencetus Ummah (PU) Riz adalah tidak benar.

Jawapan yang sama sebelum ini sudah diberikan oleh Neelofa apabila tiap kali dia dikaitkan bercinta dengan pendakwah itu.

Kali ini juga Neelofa nampaknya tegas dengan jawapannya dan enggan memberi komen lanjut supaya soalan sama tidak berulang.

Gosip percintaan ini timbul apabila kakak Neelofa iaitu Nabila memuat naik sekeping video di Instastorynya sambil meletakkan emoji cinta di sebalik kedua-dua individu itu.

Apa yang lebih mencuit hati, Neelofa sempat meminta kakaknya itu supaya senyap untuk dia sendiri statusnya bersama dengan PU Riz. Comel.

Dengan kejayaan yang berjaya digapai sekarang, semestinya ramai yang tidak sabar siapa yang mampu merangkul cinta Neelofa. Kita doakan yang terbaik sahaja ya. -SM

 

(Visited 478 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button