Alam SekitarNasionalPencemaran

Batal aktiviti luar darjah jika IPU tidak sihat

PIHAK sekolah perlu membatalkan semua aktiviti luar bilik darjah jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 101, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying.

Lim berkata, langkah itu juga selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada ditetapkan oleh kementerian terbabit.

“Semua sekolah diminta peka dengan keadaan sekeliling dan mengambil tindakan segera jika kawasan mereka mencatatkan bacaan IPU tidak sihat.

“Semua aktiviti di luar bilik darjah yang melibatkan murid hendaklah dihentikan jika bacaan IPU melebihi 101,” katanya.

Beliau mengulas langkah diambil kementerian susulan banyak kawasan dilaporkan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat.

Terbaharu, lapan kawasan di Lembah Klang mencatatkan IPU tidak sihat dengan bacaan melebihi 150 setakat 9 pagi tadi.

Berdasarkan kemas kini laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Cheras mencatatkan IPU tertinggi dengan 164, diikuti Petaling Jaya, Shah Alam dan Banting masing-masing 157; Putrajaya (156); Batu Muda dan Johan Setia (153); serta Klang (152).

Bacaan udara tidak sihat turut dicatatkan di Negeri Sembilan, melibatkan tiga stesen iaitu Nilai (163); Seremban (158); dan Port Dickson (156).

Dua stesen di Melaka, iaitu Bukit Rambai dan Alor Gajah, masing-masing merekodkan bacaan IPU 153 dan 138,Seberang Jaya, Pulau Pinang (107); Taiping, Perak (137); dan Tangkak, Johor (104).

Bacaan IPU 0-50 dikategorikan sebagai baik; 51-100 sederhana; 101-200 tidak sihat; 201-300 sangat tidak sihat; 301-400 berbahaya; 401-500 sangat bahaya, dan bacaan lebih 501 menandakan kecemasan. – SUMBER FMT – SM

BACA Lapan kawasan di Lembah Klang catat IPU tidak sihat

(Visited 45 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button