Nasional

Pemimpin negara Islam akan adakan pertemuan bincang konflik di Palestin

PERDANA Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, pemimpin negara Islam akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat bagi membincangkan konflik di Palestin.

“Kita telah hubungi pemimpin-pemimpin dunia Arab dan Turkiye malah Iran juga untuk mengadakan perbincangan dalam kalangan kepala-kepala negara.

“Keputusan sekarang ini yang bincang dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammad Salman dan presiden Turki (Recep Tayyip Erdogan) dalam tempoh sehari, dua untuk mempertemukan pemimpin Islam,” katanya ketika berucap pada perjumpaan dengan warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan ini.

Anwar berkata, beliau sebelum itu mengusulkan perbincangan sama turut disertai pemimpin bukan Islam seperti Brazil, Ireland, Rusia dan China yang mempunyai pendekatan “lebih lunak” serta mempertahankan hak kemanusiaan tetapi belum ada kata putus berhubung cadangan itu.

“Positifnya, belum pernah isu Gaza, Palestin dibahas secara terbuka di dunia barat seperti sekarang,” jelas beliau.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, hubungan baik Malaysia dan Mesir memudahkan bantuan kemanusiaan dihantar ke Palestin dengan lebih cepat.

“Saya minta keutamaan untuk bantuan kemanusiaan dari Malaysia. Mereka pegang pada janji Malaysia antara paling cepat diberi layanan dan dapat seberang sempadan,” katanya.

Lintasan Rafah ke Semenanjung Sinai Mesir satu-satunya pintu keluar dari Gaza yang tidak dikawal rejim Zionis Israel, di mana trak bantuan masih boleh memasuki wilayah itu.

Penghantaran bantuan kemanusiaan pertama Malaysia untuk rakyat Palestin melibatkan pelbagai barangan keperluan seberat 20 tan berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Al-Arish, Mesir menerusi penerbangan pesawat kargo khas Jumaat lalu.

Israel menolak gesaan melaksanakan gencatan senjata di Gaza pada Ahad, dengan pakar ketenteraan berkata pasukannya sedia memperhebatkan serangan terhadap kumpulan Hamas tanpa menetapkan sebarang tempoh untuk operasi mereka.

Pegawai kesihatan Gaza pada Ahad berkata, lebih 9,770 rakyat Palestin terbunuh dalam peperangan yang akan genap sebulan esok termasuk sekurang-kurangnya 4,880 kanak-kanak. – SM

BACA Siti Nurhaliza nyatakan pendirian sokong Palestin

BACA Malaysia hantar tentera ke Lubnan tiada kaitan perang Palestin-Israel – Mohamad Hasan

(Visited 12 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button