Nasional

MIC gesa Zahid Hamidi mundur

KETUA Wanita MIC Datuk M. Mohana menyeru agar Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mundur.

Beliau berkata, berikutan prestasi buruk Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum ke-15, Zahid sepatutnya meletakkan jawatan sebagai presiden Umno dan pengerusi BN.

“Perletakan jawatan ini juga bagi memberi laluan kepada pemimpin lain yang mampu membawa perubahan sekiranya tidak mahu menghadapi penolakan yang lebih teruk pada masa hadapan.

“Saya memohon dari lubuk hati saya, dengan segala hormatnya, agar pengerusi BN meletakkan jawatan. Ini juga yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak dengan berbesar hati dengan meletakkan jawatan pada 2018,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tokoh-tokoh dalam Umno dan parti komponen BN yang lain menggesa Zahid bertanggungjawab dan berundur daripada jawatannya selepas kekalahan itu.

Mohana mendakwa tindakan Zahid menukar 10 calon BN yang mempunyai kuasa meraih undi menyumbang kepada kekalahan itu.

Beliau berkata calon-calon ini boleh memberikan mereka kemenangan pada PRU15.

“Kekurangan semangat untuk membawa kemenangan kepada BN turut dirasai oleh calon lain (kerana ini), menyebabkan jentera tidak dapat bekerja dengan semangat yang tinggi untuk membawa kemenangan kepada BN.

“Suka atau tidak, ini adalah realiti dan kebenaran yang pahit,” tegasnya. -SM

 

(Visited 191 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button