Nasional

PM rasmi persidangan PEDi MADANI 2023, dihadiri lebih 3,000 pengunjung

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini telah menganjurkan Persidangan PEDi MADANI 2023 bagi mengiktiraf para pengurus dan penolong pengurus PEDi dari seluruh negara.

Persidangan PEDi MADANI 2023 yang julung kali dianjurkan telah dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau diiringi Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; Timbalan Menteri, Teo Nie Ching;  Ketua Setiausaha KKD, Datuk Mohamad Fauzi Md. Isa dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Persidangan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada hari ini telah menghimpunkan lebih 3,000 pengunjung terdiri daripada pengurus, penolong pengurus PEDi, usahawan-usahawan, rakan-rakan
strategik MCMC yang terlibat dengan PEDi, serta pengunjung daripada pelbagai latar belakang.

Terdapat lebih 40 reruai pameran usahawan PEDi. Selain itu, MCMC turut menganjurkan sesi masterclass serta perkongsian kepakaran menerusi persidangan ini.

Perdana Menteri dalam ucapannya berharap agar pengurus dan penolong pengurus PEDi dapat menggalas tanggungjawab yang lebih besar dalam menyokong aspirasi Kerajaan. Dengan pertambahan tanggungjawab  yang diharapkan.

Sebagai mengiktiraf sumbangan kakitangan PEDi kepada komuniti setempat selama ini, Perdana Menteri telah mengumumkan berita gembira iaitu kenaikan gaji bagi pengurus dan penolong pengurus PEDi sedia ada.

Bagi pengurus PEDi, mereka akan menaiki kenaikan gaji daripada RM2,000 kepada RM2,500. Manakala bagi penolong pengurus PEDi pula, mereka akan menikmati kenaikan gaji daripada RM1,500 kepada RM2,000.

Hala tuju baharu bagi PEDi kelak akan melibatkan naik taraf kepada kemudahan dan kelengkapan di PEDi melalui peruntukan sebanyak RM25 juta sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan 2024.

Dalam ucapannya juga, Perdana Menteri mahu syarikat-syarikat telekomunikasi untuk lebih proaktif dalam memacu pendigitalan ekonomi komuniti setempat melalui PEDi. Beliau juga berharap syarikat-syarikat telekomunikasi mewujudkan lebih banyak bakat yang mempunyai kepakaran dan pengkhususan, yang seterusnya dapat membantu komuniti menjana pendapatan bagi meningkatkan kualiti kehidupan mereka.

Pada persidangan yang berlangsung siang tadi, beberapa anugerah juga telah disampaikan oleh Perdana Menteri dan Fahmi sebagai tanda penghargaan kepada kakitangan PEDi.

Kategori-kategori anugerah adalah Pengurus PEDi dan Penolong Pengurus PEDi Terbaik, Usahawan PEDi Terbaik, PEDi Terbaik dan Anugerah Khas PEDi.

(Visited 150 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button