Politik

Selepas kantoi berkempen, Fahmi kata dia dipanggil jelaskan isu The 1975 di masjid

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan menerima aduan berhubung gambar Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berucap di ruang solat utama Masjid Nurul Yaqin, Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang pada Ahad.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, siasatan lanjut akan dilakukan mengikut Seksyen 12 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 kerana disyaki menghina pihak berkuasa agama.

“JAIS telah menjalankan siasatan dengan memanggil nazir masjid itu bagi mendapatkan keterangan dan tindakan selanjutnya akan dibuat setelah siasatan selesai dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sehubungan itu katanya, JAIS mengingatkan dan menegaskan kepada semua calon dan parti bertanding supaya berhati-hati ketika berada di dalam dan kawasan masjid atau surau bagi mengelakkan sebarang perlakuan yang boleh membawa kepada perbuatan melanggar titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan ketetapan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

“Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang melanggar titah Sultan Selangor dan arahan MAIS,” ujar beliau.

Sebelum ini, tular gambar Fahmi di media sosial ketika berucap di ruang solat utama di sebuah masjid di Kampung Melayu Seri Kundang, Rawang pada Ahad.

Bagaimanapun Fahmi menerusi Facebooknya menafikan dakwaan bahawa beliau telah berkempen di masjid berkenaan.

Sebaliknya Fahmi memberitahu bahawa beliau singgah di situ untuk menunaikan solat zuhur kerana ia masjid paling dekat dengan lokasi program seterusnya.

Beliau turut memberitahu dijemput oleh kariah masjid bagi mengulas isu kumpulan The 1975 ketika berada di masjid tersebut.

“Jemaah dalam masjid boleh jadi saksi kejadian untuk sahkan,” ujar Fahmi. – Sinar Harian

(Visited 243 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button