Politik

Khairy Jamaluddin dilantik Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi

KUALA LUMPUR, 9 Mac — Terkenal dengan aura dan karisma tersendiri, Khairy Jamaluddin mempunyai rekod yang baik ketika menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan pada 2013 hingga 2018.

Dikenali sebagai KJ dalam kalangan masyarakat figura berusia 44 sekali lagi diangkat sebagai salah seorang barisan Kabinet kali ini sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Bapa kepada tiga cahayamata ini membina kerjaya politik sebagai Ahli Parlimen Rembau apabila memenangi kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada 2008.

Malah menantu kepada Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi ini ‘terselamat’ ketika ‘tsunami rakyat’ pada PRU14 lalu dan masih memegang jawatan sebagai ahli Parlimen kawasannya sehingga sekarang.

Tidak kekok beraksi di hadapan kamera sebagai model, pengacara dan pelakon, lulusan BA (Hons) Philosophy, Politics and Economics dari St. Hugh College, University of Oxford ini mempunyai pakej lengkap sebagai pemimpin utama negara di masa depan.

Sepanjang khidmat sebagai Menteri Belia dan Sukan, pemimpin yang rapat dengan jiwa anak muda ini memperkenalkan program Fit Malaysia pada 2014 dan dasar tersebut masih diteruskan pada pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Bekas Ketua Pemuda UMNO ini juga terkenal dengan bicara lantangnya di media sosial. Beliau antara pemimpin yang aktif di IG dan Twitter malahan mempunyai jutaan pengikut dan pernah dianugerah Wired Celebrity Award by Shout! Awards pada tahun 2013.

Turut aktif dalam pasukan Wataniah, beliau merupakan Kolonel Sukarela Askar Wataniah dan dianugerah Komander Rejimen 508 AW Askar Wataniah pada 2014.

— BERNAMA

(Visited 720 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button