Politik

UMNO perlu dekati anak muda sepanjang masa – Shahaniza

UMNO perlu menyantuni anak muda bukan sekadar rutin secara bermusim namun ia perlulah dilakukan secara konsisten dan berstrategi sepanjang masa.

Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin menegaskan, usaha untuk mendekati golongan itu bukan hanya terletak pada bahu sayap UMNO sebaliknya ia adalah tugas parti secara keseluruhan.

Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin bertemu pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di Mesir ketika berada di Mekah, baru-baru ini.

Beliau berkata, generasi muda hari ini dapat menilai kewibawaan UMNO secara keseluruhan sebelum mereka memberikan sokongan menerusi ledakan informasi di media sosial.

“UMNO mesti berani tampil berdepan dengan pembangkang dan menjelaskan isu-isu yang menjadi keresahan rakyat terutama dalam kalangan anak muda.

“Ini kerana generasi muda hari ini mahukan pemimpin yang berani untuk berdebat dan berhujah dengan fakta, bukan hanya pandai berceramah semata-mata.

“Kita jangan harap anak muda akan dekat dengan UMNO sekiranya hanya mendekati mereka secara bermusim sebaliknya perlu sepanjang masa dalam menyelesaikan isu yang berbangkit,” katanya dalam satu kenyataan.

Shahaniza yang juga calon jawatan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 18 Mac ini turut menyeru semua ahli dapat berganding bahu bersama kepimpinan tertinggi parti bagi membentuk satu pasukan yang kuat.

Jelas beliau, kesepaduan parti amat mustahak untuk kepentingan UMNO sendiri selain mengukuhkan Kerajaan Perpaduan yang didukung hari ini.

“Kalau kita tidak mempunyai sebuah parti yang kuat bagaimana kita dapat mengekalkan kedudukan kita dalam kerajaan hari ini.

“Apatah lagi, kerajaan hari ini adalah Kerajaan Perpaduan yang bersandarkan kepada parti-parti untuk membentuk sebuah kerajaan.

“Kalau parti kita tidak kuat, orang tidak mahu dengan kita. Kita perlu mengenepikan perbezaan. Saya rasa, kita pun sudah muhasabah diri dan kenal pasti apa kelemahan kita.

“Jadi, inilah masanya untuk kita membentuk satu pasukan baharu bersama-sama Presiden dan Timbalan Presiden bagi menguatkan lagi parti daripada sebelum ini,” ujar bekas Exco Kerajaan Negeri Pahang itu.

Mengenai senarai calon jawatan MKT UMNO bagi penggal 2023-2026, Shahaniza berkata, kepelbagaian latar belakang calon yang bertanding adalah satu kelebihan kepada parti.

“Saya tengok ada gabungan pemimpin lama, profesional, wanita dan juga orang muda. Semoga perwakilan kali ini dapat membentuk satu pasukan yang lengkap terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran untuk mengukuhkan lagi parti kita.

“Saya rasa, penilaian tentang mereka yang menawarkan diri ini perlu dibuat dengan lebih berhati-hati seperti kita mahu membentuk sebuah pasukan bola sepak. Takkan semua orang nak jadi ‘striker’ sahaja sebaliknya kita mahu mereka duduk di posisi masing-masing,” kata pemilik nombor calon 50 itu.

Pada Pemilihan UMNO 2023 ini seramai 95 calon menawarkan diri bertanding bagi jawatan MKT di mana tujuh calon adalah wanita.

Selain Shahaniza, turut bertanding adalah Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Datuk Rosni Sohar, Datuk Suraya Yaacob, Datuk Zahida Zarik Khan, Datuk Mastura Mohd Yazid dan Julie Sabran. – SM

(Visited 155 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button