Nasional

Azmin, Zuraida tinjau 40 mangsa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa

MENTERI EKONOMI yang juga Ahli Parlimen Gombak Datuk Seri Azmin Mohamed Ali dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin meninjau keadaan 40 penduduk yang terjejas akibat tanah runtuh yang berlaku awal pagi tadi.

Menurut Azmin beliau telah meminta agensi yang berkaitan memberikan bantuan awal kepada keluarga yang terjejas.

“Bersama YB Hajjah Zuraida, Menteri KPKT turun di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa. Seramai 40 orang penduduk terjejas ekoran kejadian tanah runtuh yang berlaku sekitar jam 2 pagi tadi. Alhamdulillah, semua penduduk selamat.

“Kami telah mengarahkan Jabatan Bomba, MPAJ, Pejabat Daerah Gombak dan agensi agensi kerajaan yang lain memberikan bantuan awal kepada keluarga yang terlibat. Saya juga meminta supaya kerja kerja pembaikan dijalankan dengan kadar segera untuk mengelakkan pergerakkan tanah yang lebih serius,” kata Azmin.

Menurut laporan Bernama, penghuni tujuh buah rumah di Taman Kelab Ukay diarah mengosongkan kediaman masing-masing susulan kejadian tanah runtuh di belakang rumah teres dua tingkat tersebut, awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata pihaknya menerima panggilan pada 2.21 pagi sebelum tiba di lokasi kejadian pada 2.33 pagi.

“Seramai 40 penghuni di tujuh rumah berkenaan diarah mengosongkan kediaman masing-masing susulan terdapat keretakan di bahagian belakang rumah mereka,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Beliau berkata semua penghuni tidak dibenarkan berada di kediaman masing-masing sehingga pihak berkuasa tempatan memutuskan tindakan selanjutnya.

Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku susulan hujan berterusan yang mengakibatkan pergerakan tanah.-SM

 

(Visited 587 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button