Politik

Buktikan Anwar dapat sokongan majoriti Dewan Rakyat terlebih dahulu

KITA masih ingat bagaimana Yang di-Pertuan Agong pada 10 Mei 2018 telah memanggil seorang demi seorang pemimpin Pakatan Harapan menghadap, sebelum baginda membuat keputusan memperkenankan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Ia adalah kerana Yang di-Pertuan Agong perlu memastikan bahawa orang yang mahu dilantik sebagai Perdana Menteri mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Ini bermakna jika Datuk Seri Anwar Ibrahim walaupun dipilih oleh Dr. Mahathir sebagai penggantinya, tetapi tidak mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat, Anwar tetap tidak akan dapat mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Jika sebahagian besar ahli parlimen di dalam Pakatan Harapan tidak menyokong Anwar, apatah lagi di pihak pembangkang yang terdiri daripada UMNO dan Pas.

Menurut Perkara 43(2)(a) PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN :

“Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu.”

Peguam Haniff Khatri Abdulla berkata, Ke Bawah Duli YDP AGONG hendaklah pada HEMATNYA sendiri BERPUASHATI bahawa calon yang akan menjadi Perdana Menteri itu mempunyai KEPERCAYAAN MAJORITI dari kalangan AHLI DEWAN RAKYAT pada ketika itu.

“Yakni, mana-mana PERSETUJUAN yang dibuat oleh kesemua Parti Komponen PAKATAN HARAPAN dan diumumkan sebagai MANIFESTO PRU – 14 kepada Rakyat Malaysia adalah TIDAK TERIKAT secara automatik sama sekali, tanpa diperolehi pengesahan Baginda Tuanku dalam melaksanakan tanggungjawab Ke Bawah Duli YDP AGONG menurut peruntukan PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN terlebih dahulu,” katanya.

Oleh itu kini Anwar perlu membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan yang diperlukan untuk dilantik menjadi Perdana Menteri.

Pada masa yang sama para penyokong Anwar tidak perlulah melalak menuduh Dr. Mahathir sebagai mungkir janji kerana beliau sendiri perlu menghormati undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.

Apatah lagi ini isu jawatan Perdana Menteri dan bukannya CEO mana-mana GLC.

Oleh itu jika Anwar masih sukar untuk membuktikan mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat, jalan yang mudah adalah dengan membubarkan Parlimen dan diadakan pilihan raya.

Jika Pakatan Harapan yang dipimpin oleh Anwar mendapat kemenangan dan disokongan majoriti oleh Ahli Dewan Rakyat, tiada siapa dapat menafikan hak Anwar untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Sebab ini soal masa depan negara dan bukannya untuk memuaskan kehendak segelintir rakyat tetapi membabitkan kepentingan majoriti rakyat.

Apa erti jika menjadi Perdana Menteri tanpa mengikut Perlembagaan dan undang-undang yang akhirnya akan terbatal juga jika perkara ini dibawa ke muka pengadilan kelak.

 

(Visited 196 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button