NasionalParlimen

Tiada cadangan kaji semula struktur cukai sedia ada – Tengku Zafrul

MENTERI Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata,  kerajaan tidak mempunyai sebarang perancangan mengkaji semula struktur cukai sedia ada bagi sektor automotif khususnya duti eksais

Beliau berkata, duti eksais misalnya berperanan penting menggalakkan aktiviti nilai tambah, terutama pemasangan tempatan (CKD) serta pembangunan vendor.

“(Duti eksais) ini adalah untuk menggalakkan vendor mengambil bahagian dalam pembangunan industri automotif di Malaysia,” katanya menurut laporan Bernama, hari ini.

Mengulas lanjut soalan tambahan oleh Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam), Tengku Zafrul berkata, kerajaan bertindak menawarkan insentif cukai dalam bentuk pengecualian atau pengurangan duti eksais serta cukai jualan.

Pengecualian dan pengurangan duti import turut diberikan ke atas komponen import untuk aktiviti pemasangan tempatan kenderaan, katanya.

Beliau berkata, kadar atau tahap insentif diberikan pula bergantung kepada merit pelan perniagaan seperti jumlah pelaburan, pembangunan vendor terutama vendor tempatan, pemindahan teknologi serta pelan untuk eksport.

“Selain mekanisme penilaian insentif untuk pengurangan duti dan cukai kenderaan, produk automotif seperti kenderaan yang dipasang sepenuhnya (CBU) dan CKD serta komponen-komponen yang diimport juga berpeluang menikmati duti import pada kadar lebih rendah atau sehingga sifar peratus di bawah Perjanjian Perdagangan Barangan Asean,” ujarnya.

Pendekatan itu, katanya, membolehkan kerajaan membangunkan industri automotif tempatan yang berdaya saing melalui bahan ekonomi hasil daripada aktiviti nilai tambah, selain mengharapkan harga kenderaan berkurangan.

Menjawab soalan tambahan daripada Azahari Hasan (PN-Padang Rengas), Tengku Zafrul menjelaskan, duti eksais bagi kenderaan mampu milik terutamanya harga kereta berkurangan daripada RM50,000 adalah antara dua hingga lima peratus, berbanding kadar duti eksais lebih tinggi 60 hingga 110% untuk kereta mewah.

“Kita harapkan dengan kemajuan teknologi, harga kereta akan turun dengan permintaan lebih tinggi di masa akan datang,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa harga kenderaan tidak dikawal oleh kerajaan sebaliknya dipengaruhi oleh daya pasaran seperti kos komponen digunakan, kos pengangkutan dan logistik, insurans, kadar pinjaman serta kos teknologi. – SM

(Visited 121 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button