Nasional

Kerajaan sentiasa ada perancangan jelas perangi Covid-19

KERAJAAN sentiasa mempunyai perancangan yang jelas dalam memerangi Covid-19 dan krisis ekonomi yang tercetus akibat wabak ini.

Sejak dari awal kerajaan sudah menyusun strategi dan merancang pendekatan untuk berhadapan bukan sahaja dengan wabak tetapi juga kesannya terhadap ekonomi.

Kerajaan menggunakan strategi yang merangkumi enam pendekatan.

Pertama ialah ketegasan atau resolve dalam tindakan mengawal penularan wabak Covid-19 dengan melaksanakan PKP (Perintah Kawalan Pegerakan).

“Kedua, membina ketahanan atau resilience melalui pakej rangsangan ekonomi PRIHATIN untuk meningkatkan kemampuan rakyat dan ekonomi.

“Ketiga, menjana semula atau restart ekonomi secara teratur dan terkawal. Keempat, melaksanakan strategi pemulihan atau recovery ekonomi dalam menghadapi norma baharu,” jelas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata demikian dalam amanat khas sempena Hari Pekerja yang disiarkan secara langsung oleh RTM sebentar tadi.

Strategi kelima kata Muhyiddin, memperkasa atau revitalize ekonomi secara menyeluruh demi kelangsungan masa hadapan.

Sementara yang keenam, menyusun semula atau reform struktur ekonomi untuk membolehkan negara, dan rakyat melangkah ke era kehidupan yang sudah berubah dengan adanya ‘norma baharu’ atau ‘new
normal’.

“Alhamdulillah, pendekatan pertama dan kedua telah membuahkan hasil.

“Kini, kita telah bersedia untuk memulakan pendekatan ketiga, iaitu membuka semula aktiviti ekonomi di seluruh negara secara terkawal dan berhati-hati.

“Dengan ini kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat atau PKPB. Sebahagian besar daripada aktiviti ekonomi dan sosial akan dibenarkan, kecuali beberapa aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan wabak COVID-19 yang masih tidak dibenarkan.

“Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) juga akan dilaksanakan di kawasan-kawasan yang mencatatkan kes positif COVID-19 yang tinggi.

“Saya tahu setelah hampir dua bulan menjalani PKP, ramai dalam kalangan saudara-saudari yang ingin kembali bekerja.

“Bagi peniaga, nak membuka semula perniagaan. Bagi pengusaha industri, nak pastikan perusahaan masing-masing dapat beroperasi semula.

“Ini penting kepada saudara-saudari kerana pekerjaan dan perniagaan adalah sumber pendapatan dan mata pencarian saudara-saudari.

“Kalau terlalu lama berada dalam PKP, maka terputuslah mata pencarian dan ini memberi kesan yang buruk kepada kedudukan kewangan masing-masing,” kata Muhyiddin. – SM

(Visited 238 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button