Sukan

Kilauan lapan emas warnai hari gemilang kontinjen Malaysia

MALAYSIA sukar mencapai sasaran 70 pingat emas pada temasya Sukan SEA ke-30 di Filipina selepas merekodkan catatan terbaik pungutan pingat iaiu lapan emas, lapan perak dan 13 gangsa pada saingan hari ketujuh temasya dwitahunan itu Sabtu.

Memandangkan saingan berbaki tiga hari sebelum temasya melabuhkan tirainya, 11 Disember ini, kontinjen negara turun satu anak tangga dalam carta pungutan pingat selepas menghuni tempat keenam di belakang Singapura dengan kutipan 36 emas, 28 perak dan 42 gangsa.

Filipina hampir pasti dinobatkan juara keseluruhan buat kali kedua selepas edisi 2005 dengan masih mendahului carta pungutan pingat dengan 89-67-65, diikuti Indonesia (50-49-58), Vietnam (45-50-64), Thailand (41-55-60) dan Singapura dengan 37-30-41.

Pada hari ketujuh pertandingan, skuad gimrama menjadi penyumbang tertinggi menerusi kutipan empat emas, disusuli terjun dengan dua emas, manakala baki dua emas hadir dalam acara taekwando dan karate.

Skuad gimrama jelas berada dalam kelas tersendiri apabila menyumbang empat emas, masing-masing menerusi Izzah Amzan dalam acara bola, Koi Sie Yan dan Izzah dalam acara riben, serta acara berpasukan All-Around di Rizal Memorial Coliseum, Manila.

Kontroversi turut melanda sukan subjektif itu susulan pengadilan berat sebelah terhadap gimnas negara, terutamanya dalam kategori gelung sehingga Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) , Rachel Lau dilaporkan menfailkan bantahan rasmi kepada Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (MGF).

Pada aksi di Pusat Akuatik New Clark City, skuad terjun negara menambah dua pingat emas, masing-masing menerusi acara 3 meter papan anjal individu lelaki dan 3 meter papan anjal seirama wanita.

Hari gemilang kontinjen Malaysia dimuktamadkan dengan satu kilauan emas, masing-masing dalam acara taekwando (poomsae berpasangan campuran) dan karate (kumite lelaki 55kg).

Dalam pada itu, atlet muda negara, Andrea Anura Anuar mencipta sejarah di Stadium Olahraga New Clark City selepas melakar rekod baharu kebangsaan dalam acara lompat jauh lelaki dengan lompatan sejauh 8.02 meter, sekali gus memadam rekod terdahulu, 7.88 meter yang dilakukan Josbert Tinus pada Kejohanan Terbuka Thailand 2007.

Kontinjen Malaysia akan meneruskan pemburuan emas pada hari kelapan, esok dalam beberapa acara, antaranya renang, olahraga dan tenpin boling. – BERNAMA

(Visited 80 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button