BeritaNasionalPendidikan

Daulatkan bahasa Melayu dalam negara, muliakan di peringkat antarabangsa

KATA Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, “Bahasa Melayu mesti digunakan untuk semua urusan rasmi kerajaan di luar negara. Di seantero dunia maknanya termasuk persidangan antarabangsa.”

Perdana Menteri sudah berbincang dalam Kabinet iaitu jemaah Menteri dan option atau pilihan pertama, jika negara tersebut menggunakan bahasa mereka, kita guna bahasa Melayu.

Kata Ismail Sabri, option kedua kalau negara tersebut menggunakan bahasa Inggeris, kita gunakan bahasa Inggeris atau boleh guna bahasa Melayu.

Kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri disokong oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) bahawa para perwakilan rasmi Malaysia menggunakan bahasa Melayu di acara rasmi di peringkat antarabangsa.

Ketua Satu GAPENA, Datuk Zainal Abidin Borhan dalam kenyataannya hari ini berkata, untuk merealisasikan pemartabatan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa, disarankan agar ditubuhkan Bahagian Bahasa Melayu Antarabangsa di Dewan Bahasa dan Pustaka yang berfungsi seperti British Council.

Beliau berkata, tindakan ini harus segera dilaksanakan dan sekaligus imej warganegara Malaysia yang sering berbahasa Inggeris apabila berinteraksi dengan warga asing, dapat diubah.

Beliau berkata, ramai juga warganegara Malaysia yang tidak fasih berbahasa Melayu walaupun ia adalah bahasa kebangsaan negara.

“Tindakan yang sewajarnya yang menuntut ketegasan perlu dilakukan supaya semua warganegara Malaysia fasih berbahasa kebangsaan. Di negara sendiri bahasa Melayu didaulatkan di peringkat antarabangsa, ia dimuliakan,” ujar beliau.

Kata Zainal Abidin lagi, pengumuman Perdana Menteri berkenaan meletakkan kedaulatan, kemuliaan dan kedudukan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa disambut baik dan disokong oleh GAPENA.

“GAPENA amat mengharapkan para perwakilan rasmi Malaysia di peringkat antarabangsa khasnya pejabat Pesuruhjaya Tinggi dan Kedutaan serta Konsulat Malaysia di seluruh dunia dapat memainkan peranan yang lebih proaktif menyebar-luaskan proses pengantarabangsaan bahasa Melayu.

“Jabatan Atace Pendidikan perlu diberi peranan untuk mempertingkatkan lagi penyebaran tersebut di samping diwujudkan jawatan guru bahasa di jabatan berkenaan,” katanya.

Tambah beliau, bagi acara-acara rasmi di peringkat antarabangsa merupakan acara yang berkala haruslah menggunakan bahasa Melayu dan yang lebih utama ialah usaha berterusan lagi berkesan mengantarabangsakan Bahasa Melayu. – SM

(Visited 407 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button