Politik

Ismail Sabri angkat sumpah Perdana Menteri Ke-9

AHLI Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada petang tadi.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, pada jam 2.30 petang.

Ismail Sabri, 61, mengisi kekosongan selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan pada 16 Ogos lepas, susulan kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Istana Negara dalam kenyataan semalam memaklumkan Yang di-Pertuan Agong berkenan melantik Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri yang baharu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan itu diumumkan, selepas berlangsungnya Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu yang dipengerusikan Al-Sultan Abdullah selama dua jam di Istana Negara semalam.

Pada 17 Ogos lepas, Seri Paduka berkenan menerima menghadap ketua dan wakil parti-parti politik utama negara dan pada hari sama, menitahkan kesemua 220 Ahli Dewan Rakyat mencalonkan seorang Ahli Dewan Rakyat untuk dilantik Perdana Menteri menerusi surat akuan (statutory declaration) yang perlu dihantar kepada Istana Negara sebelum 4 petang, Rabu.

Menerusi surat akuan itu, Ismail Sabri yang menggalas jawatan timbalan perdana menteri sebelum ini, mendapat 114 sokongan Ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan dan membentuk kerajaan.

Dalam kerajaan terdahulu, Ismail Sabri turut memegang portfolio Menteri Pertahanan selain diberi tanggungjawab sebagai Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) bagi menangani aspek bukan kesihatan situasi COVID-19 negara.

 

(Visited 257 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button