Belang Bertempat

Cabaran pasca 100 hari Menteri Besar Johor yang getir

KELMARIN 6 haribulan Jun 2020, pentadbiran Datuk Ir Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar Johor memasuki 100 hari.

Tidak banyak yang Belang boleh huraikan mengenai pencapaian Hasni dalam tempoh yang singkat ini.

Cuma yang dapat dikongsi adalah, Hasni berperwatakan sederhana, tertib dan pelopor kepimpinan “cara Johor”. Tokoh yang dianggap sesuai menerajui Johor dengan kurang bercakap serta berhati-hati dalam setiap langkah politik. Beliau juga kurang bermusuh dengan sesiapa.

Ijtihad politik Hasni kekal dalam UMNO walaupun ‘circle utamanya’ Tan Sri Muhyiddin Yassin sejak sekian lama menubuhkan Parti Bersatu.

Kini beliau bertaut semula dengan Muhyiddin – selain rapat dengan Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein berikutan pernah menjawat Ketua Pemuda UMNO Johor tatkala Hisham sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia.

Buat masa ini, Hasni tokoh yang diterima baik di Johor. Beliau tidak bergantung kepada ucapan atau kenyataan beretorika. Juga, tidak melantik penulis ucapan atau agensi kajian untuk tampilkan imejnya.

Beberapa polisi atau dasar yang ditampilkan Hasni adalah hasil idea authentic berdasarkan pandangan akar umbi, teknokrat dan pegawai negeri. Hasni juga tak nampak mewah dengan gaya hidup. Tiada pegawai-pegawai yang ramai mengelilingi beliau, sekali gus memberi gambaran mudah akses.

Cabaran besar yang dihadapi Hasni tidak sekadar `sipi-sipi’ kedudukan kerusi yang seimbang tetapi `meruncing’ dek `tawar menawar’ dari Parti Bersatu, selain tekanan Pakatan Harapan dari DAP Johor. Itu barangkali bagi Hasni asam garam dalam berpolitik – ibarat roda, ada masa di atas dan ada kalanya di bawah.

Namun yang menjadi cabaran getir Hasni adalah untuk memecahkan taboo pemikiran orang Melayu khususnya orang UMNO itu sendiri – daripada ketakutan kepada berani, yakin dan melakukan perubahan.

Ia bukan sahaja untuk mengekalkan status quo kuasa UMNO dan mungkin juga Muafakat Nasional bersama Pas, tetapi lebih penting lagi dalam membina pemikiran yang percaya UMNO adalah tiang seri kuasa politik orang Melayu.

Hasni dalam sembang santainya dengan SUARA MERDEKA dalam satu pertemuan di Johor Bahru sebelum ini menyatakan UMNO Johor harus akur bahawa sikap dan demografi pengundi Melayu di Johor sudah berubah. Dahulu boleh dikatakan, Johor ini negeri yang selamat.

Dalam pilihan raya umum ke-14 lalu (9 Mei 2018), UMNO Johor hanya memenangi 18 kerusi majoriti DUN Melayu, dan bakinya tewas.

Johor juga mempunyai sembilan kerusi DUN campuran, dan hanya satu dimenangi pada PRU-14 lalu dengan hanya majoriti 2.3%. Pada masa sama, UMNO mempunyai kerusi kerusi DUN majoriti Cina tetapi kalah kesemuanya.

Dan Hasni tentu ingat, ketika BN Johor masih memiliki 17 ADUN UMNO dan dua ADUN MIC selepas PRU-14, budaya lompat katak masih lagi berlangsung, menyebabkan tiga ADUN UMNO telah terjun ke padang yang berlainan – menjadikan tinggal 14 ADUN UMNO, dua ADUN MIC dan seorang ADUN PAS.

Bagi Hasni, beliau sendiri menyematkan dalam diri bahawa keharmonian antara kaum merupakan kekuatan UMNO Johor.

Konsep itulah yang dipertahankan demi survival UMNO dan Barisan Nasional (BN) Johor yang turut diketuainya.

Tergiang-giang juga di kepala Belang dalam satu pertemuan dengan Hasni di Johor Bahru semasa berkhidmat dengan sebuah akhbar sebelum pilihan raya kecil Tanjung Piai 16 November tahun lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu ditanya akan andaian banyak pihak terutama dari dalam UMNO sendiri bahawa calon MCA akan kalah jika bertanding di kerusi tersebut.

Ini jawapan Hasni yang cukup berbeza dengan pemikiran pemimpin-pemimpin tradisi UMNO yang lain:

“Tanggapan ini realitinya tidak sihat di masa depan kalau Melayu hanya sokong Melayu, Cina hanya sokong Cina. Di Johor ini banyak juga kerusi marginal di mana sokongan kedua-dua bangsa itu perlu untuk perkuatkan bangsa Johor. Kita tidak boleh nafikan sumbangan satu-satu kawasan dalam kerusi marginal.

“Kita tidak boleh hantar mesej yang salah dalam PRK ini. Sesuatu kawasan itu bukan hanya satu-satu kaum tentukan kemenangan. Dalam PRU ke-14 lepas, calon BN tidak mungkin kalah kalau orang Melayu berdiri teguh di belakang UMNO. Akhirnya terbukti kalah.

“Dalam aspek ini UMNO perlu perkuatkan sokongan dalam kalangan orang Melayu dan MCA perlu kuat untuk dapatkan sokongan bukan Melayu. Kita sedari di Johor sama ada pengundi Melayu 55 peratus dan 45 peratus Cina, selama ini Johor telah berjaya memupuk suasana muafakat yang baik antara kaum.”

Terbukti prinsip yang dipegang oleh Hasni selaku Pengarah Pilihan Raya BN Tanjung Piai itu berbaloi, dengan kemenangan besar calon BN dari MCA, Datuk Seri Wee Jeck Seng dengan majoriti 15,086 undi berbanding kekalahan Jeck Seng 524 undi dalam PRU-14 .
Bak berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Bukan mudah untuk Hasni memikul tanggungjawab ketua pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

BN yang ditunjangi UMNO tewas selepas memerintah selama 61 tahun. Kerusi Parlimen yang diperoleh pula jauh merosot kepada hanya 79 berbanding 133 pada PRU-13.
UMNO, tunjang kepada BN hilang 34 kerusi apabila hanya menang 54 kerusi berbanding 88 kerusi pada PRU-13.

Di Johor, negeri yang melahirkan UMNO, tetapi kalah mengejut 9 Mei 2018 sekadar mengaut 19 daripada 56 kerusi DUN, lagilah getir cabarannya.

Selaku ketua pembangkang sebelum ini, Hasni menyuarakan kerisauannya kepada penulis andai kata masih ada lagi orang UMNO yang berfikiran lama.

Yakni, masih nak balik macam dulu waktu berkuasa. Kononnya UMNO masih pegang rekod parti dominan – yang paling banyak kerusi berbanding parti-parti dalam kerajaan baharu.

Kata Ketua UMNO Bahagian Pontian itu yang tampak berterus-terang semasa diajukan soalan adakah gabungan UMNO-MCA-MIC yang membentuk gabungan baharu Barisan Nasional (BN) masih relevan, meluahkan:
“Ini suatu cabaran besar, zaman UMNO macam itu (sebagai tunjang BN) cukup-cukuplah selama 61 tahun ini.

“Sewajarnya kita perlu lebih cenderung membentuk sistem dua parti. UMNO mungkin boleh menang dalam kawasan Melayu atau luar bandar. Siapa nak jadi wakil rakyat atau calon pilihan raya? UMNO lah di situ asal sahaja UMNO mahu cepat berubah.

“Sebab itu kalau dapat meyakinkan atau convince masyarakat terhadap sistem dua parti ini dengan UMNO membuang pemikiran lamanya, kita boleh berjaya,” kata Hasni.

Tetapi bagaimana pun dengan kedudukan MCA atau MIC?

Kata Menteri Besar itu lagi: “MCA bertandinglah antara mereka berdua, maksud saya menentang DAP sahaja. UMNO tak perlu masuk bersaing di kawasan marginal, cuma bertanding dalam populasi 80 peratus Melayu.

“Ini kerana UMNO lebih faham situasi ini dan diterima kalau bercakap pasal orang Melayu.”

UMNO setelah dua hari Hasni melepasi 100 hari pentadbiran negerinya, belum lagi menang.

Dalam bahasa yang mudah difahami oleh mereka yang percaya kepada mitos, bukan hal yang mudah.

Cabaran Hasni cukup getir. Begitupun, Menteri Besar Johor itu dipercayai realistik dan berpijak di bumi nyata.
SM

(Visited 366 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button