Nasional

Program Semarak Kasih Ramadan rai asnaf dan anak yatim

PERSATUAN Bekas Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama Pertubuhan Gagasan Generasi Profesional (GGP) dengan kerjasama Surau Al Muhajirin Bukit Mahkota, Bangi pada petang semalam menganjurkan Program Semarak Kasih Ramadan bagi menyantuni 72 orang asnaf dan 30 anak-anak yatim serta penduduk setempat.

Program ini diadakan bertujuan meraikan golongan asnaf dan anak-anak yatim bagi memastikan mereka tidak merasa terpinggir khususnya di bulan Ramadan ini.

Presiden Persatuan Bekas Pegawai SPRM, Dato’ Mazlan Mohamad berkata, golongan asnaf dan anak-anak yatim tidak harus dipinggirkan dalam merasai kemeriahan persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata, penganjuran program seumpama itu bertujuan membangkitkan kesedaran kepada mereka yang mampu untuk berkongsi rezeki serta kasih sayang dengan golongan sasar.

“Ia juga salah satu program yang boleh memberi impak yang baik kepada masyarakat untuk membantu golongan ini. Diharap ia akan menjadi program yang berpanjangan dari masa ke masa,” katanya ketika ditemui pada majlis tersebut.

Beliau berkata, Persatuan Bekas Pegawai SPRM turut menyokong usaha membanteras budaya rasuah dan salah guna kuasa sepertimana saranan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi menjamin kestabilan negara.

“Kami menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menyokong usaha Perdana Menteri dan menggesa semua pihak memainkan peranan dalam memerangi rasuah dengan melaporkannya kepada SPRM jika ada berlaku perbuatan rasuah ataupun menyalahgunakan kuasa,” katanya.

Selain itu katanya,kita tidak boleh meletakkan usaha untuk membanteras rasuah dan salah guna kuasa ini di bahu kerajaan dan pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya perlu digembeling secara bersama oleh seluruh lapisan bagi memastikan rasuah ini hilang daripada norma masyarakat kita.

Sementara itu, Gagasan Generasi Profesional (GGP) yang ditubuhkan pada Februari 2018 merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mengumpulkan generasi muda daripada golongan profesional di seluruh negara.

Presiden GGP, Datuk Sr. Nasir Saari

Presiden GGP, Datuk Sr. Nasir Saari berkata, pertubuhan ini memberi fokus dalam mengutarakan idea, cadangan dan resolusi terhadap pelbagai isu dan dasar kerajaan khususnya yang melibatkan generasi muda profesional; menyokong dan bekerjasama dengan kerajaan dan agensi kerajaan.

Beliau berkata, pertubuhan ini juga bermatlamat untuk memupuk semangat kerjasama dan bantu-membantu dalam kalangan ahli dengan golongan muda bagi melahirkan generasi yang berhemah tinggi selain mengadakan aktiviti yang dapat mengeratkan perpaduan, meningkatkan kesetianegaraan dan mewujudkan kesedaran untuk bersama-sama dengan kerajaan bagi membina dan memajukan negara.

“Selain itu, GGP juga mengadakan aktiviti untuk ahli-ahli dalam bidang kebudayaan, sukan, kerohanian, ekonomi, pendidikan, kenegaraan dan lain-lain serta memberi peluang kepada ahli-ahli terlibat dalam program latihan kepimpinan, kemahiran dan keusahawanan,” katanya.

“Kami amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Persatuan Bekas Pegawai SPRM dalam memupuk masyarakat bagi menggalakkan aktiviti-aktiviti menyatuni golongan asnaf dan anak-anak yatim.

Program kemasyarakatan yang dilaksanakan ini jelas dapat menjalinkan ukhuwah silaturrahim antara rukun tetangga terutama sekali mereka dari golongan asnaf dan anak-anak yatim setempat. Program ini merupakan inisiatif dalam memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan,” katanya lagi. – SM

 

(Visited 207 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button