Nasional

Malaysia dan Vietnam tingkatkan hubungan perdagangan

MALAYSIA dan Vietnam bersedia untuk meneroka lebih banyak peluang untuk menjalin hubungan yang lebih kukuh dalam ekonomi dan perdagangan.

Kementerian Luar berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara kementerian dan agensi Malaysia dan Vietnam dalam pelbagai sektor bagi meningkatkan perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

“Program rasmi Anwar di Hanoi juga termasuk menghadiri Persidangan Perniagaan Bersama Malaysia-Vietnam dan sesi bersama diaspora Malaysia.

“Lawatan rasmi itu dijangka mengeratkan lagi hubungan kukuh sedia ada antara Malaysia dan Vietnam sebagai jiran rapat dan rakan kongsi di Asean.

“Memandangkan tahun 2023 juga menandakan Jubli Emas terjalinnya hubungan diplomatik, lawatan itu memberi peluang untuk mengeratkan lagi hubungan itu,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Tahun lepas, jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Vietnam meningkat 23.1 peratus, daripada AS$16.74 bilion (RM69.40 bilion) pada 2021, kepada AS$19.44 bilion (RM85.40 bilion) pada 2022.

Malaysia juga merupakan pelabur ke-9 terbesar di Vietnam, dengan jumlah pelaburan sebanyak AS$13.06 bilion.

Anwar sedang melakukan lawatan rasmi sulungnya ke Vietnam pada 20 Julai sehingga 21 Julai atas jemputan Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh.

Semasa lawatan itu, perdana menteri dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatannya, Pham Minh Chinh.

Kedua-dua pemimpin akan membincangkan kemajuan pelaksanaan Pelan Tindakan 2021 – 2025 di bawah kerangka Rangka Kerja Perkongsian Strategik Malaysia – Vietnam.

Anwar juga dijadual bertemu Presiden Vietnam Vo Van Thuong, setiausaha agung Parti Komunis Vietnam Nguyen Phu Trong dan pengerusi Dewan Negara Vietnam Vuong Dinh Hue. -SM

Baca juga : Tesla lancarkan Model Y secara rasmi di Malaysia

 

 

 

(Visited 83 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button