Rencah Hidup

Tak payah berlakon, tak payah botak kepala: TMJ sindir siapa?

INSTA story Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menggesa seseorang berhenti mempergunakan orang Muar bagi kepentingan peribadi mengundang persoalan.

Dalam Insta Story yang dinaikkan dalam akaun rasmi Instagram hrhcrownprinceofjohor itu, Tunku Ismail turut meminta individu terbabit tidak berlakon dan membotakkan kepala.

“Tak payah nak curi duit rakyat dan masih ada kes SPRM, tak payah nak menipu, tak payah nak botakkan kepala.

“Cukup cukuplah mengguna orang Muo demi kepentingan peribadi. Lagi lagi apabila awak tu orang Arab Singapura bukan orang Johor,” kata Tunku Ismail.

Dalam Insta itu Story itu Tunku Ismail turut berkongsi sekeping cek bernilai RM300,000 yang dikurniakan kepada anak-anak daerah Muar.

Dalam satu hantaran yang lain, Tunku Ismail turut menulis,”The difference between you and me is, you are only talk from beginning. I act. I accomplaish what you failed to do in 22 months, in 2 months (Perbezaan antara anda dan saya adalah, anda dari awal hanya bercakap. Saya bertindak. Saya menyelesaikan apa yang anda gagal lakukan dalam 22 bulan, dalam 2 bulan).

Ketika ini Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sedang menjalankan kempen mengutip sumbangan sebanyak RM200,000 dari orang ramai untuk memberi komputer riba kepada 100 orang pelajar.

Dalam menjayakan kempen tersebut, Syed Saddiq bernazar untuk membotakkan kepalanya esok sekiranya dia berjaya mengutip jumlah tersebut.

Sementara itu Syed Saddiq dalam kenyataan video di media sosialnya berterima kasih kepada Tunku Ismail kerana memberi sumbangan berjumlah RM300,000 kepada anak-anak Muar.

“Patik dan orang Muar terhutang budi pada jasa baik Tunku. Fastabiqul khairat. Patik percaya yang kita perlu sentiasa membuat baik dan berlumba-lumba untuk membuat perkara yang baik.

“Patik juga ingin mengambil kesempatan untuk menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Tunku yang telah memudahkan pembinaan hub anak muda Muar,” kata Syed Saddiq.

Syed Saddiq turut menyatakan perasaan terima kasih atas peranan yang dimainkan Tunku Ismail dalam menjayakan projek Tunku Mahkota Ismail Youth Center.

“Alhamdullilah dalam kapasiti kecil patik sewaktu menjadi menteri belia dan sukan projek anak muda yang berjumlah RM25 juta telah diluluskan selepas patik berjumpa dengan Perdana Menteri, Menteri Besar Johor yang dibentangkan dalam Kabinet.

“Namun hanya dengan perkenan dan campurtangan Tunku dalam isu tanah yang menyekat projek ini akhirnya projek Tunku Mahkota Ismail Youth Center akan mula dilaksanakan. Terima kasih Tunku,” kata Syed Saddiq.

Dalam video berdurasi 1 minit 44 saat itu pengasas Parti Muda itu turut memohon ampun kepada Tunku Ismail dan keluarga sekiranya beliau ada melakukan kesalahan.

“Sebagai manusia biasa patik tidak terlepas dari berbuat kesilapan. Patik mengambil kesempatan ini untuk memohon ampun sekiranya ada tersinggung perasaan Tunku dan keluarga.

“Sebagai anak jati kelahiran Johor yang membesar di Johor yang telah bersekolah di Johor patik dan keluarga amat terhutang budi kepada Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Johor, Tunku dan seluruh keluarga selaku pemerintah Kerajaan Johor Darul Takzim.

“Semoga Allah SWT sentiasa merahmati dan melindungi Tunku dan keluarga,” kata Syed Saddiq.-SM

P/s : Suara Merdeka adalah sebuah portal yang bergerak atas inisiatif wartawan yang kehilangan pekerjaan. Sekiranya pihak pembaca berkesudian untuk membantu perjuangan kami, sila klik link ini.

(Visited 1,932 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button