Nasional

PEDi perkasa transformasi ekonomi, digital di Johor

KEMENTERIAN Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mempergiatkan usaha mewujudkan lebih banyak Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di daerah seluruh negeri Johor bagi memastikan rakyat bukan sahaja mendapat capaian kepada Internet berkualiti, bahkan juga mampu melonjakkan ekonomi mereka.

Langkah ini seiring dengan sasaran dan hasrat Kerajaan untuk mewujudkan 1 PEDi di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti yang diumumkan baru-baru ini.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, di Johor, sebanyak tiga PEDi baharu sedang dalam proses pelaksanaan iaitu PEDi Kg. Pagoh di Pagoh; PEDi Pulau Penarek di Ledang dan PEDi FELDA Linggiu di Tenggara. Manakala, 11 lagi masih dalam perancangan melibatkan kawasan di Tangkak, Bentayan, Simpang Jeram, Senggarang, Yong Peng, Mengkibol, Parit Yaani, Larkin, Stulang, Skudai dan Senai.

“Penambahan sebanyak 14 PEDi baharu ini menjadikan bilangan PEDi di Johor meningkat kepada 101 pusat, berbanding dengan hanya 87 ketika ini,” katanya.

Majlis pelancaran PEDi FELDA Kahang Barat hari ini merupakan titik tolak penting transformasi ekonomi dan digital kepada penduduk setempat.

Dalam pada itu, pelaksanaan pelbagai inisiatif melalui PEDi seperti Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil, Rakan Digital PEDi serta program keusahawanan oleh agensi-agensi kerajaan akan terus memperkasa golongan usahawan kecil ke arah pendigitalan yang lebih inovatif dan berdaya saing.

“Para usahawan akan dapat menjalankan perniagaan secara dalam talian melalui platform e-Dagang selain memahami kebolehpasaran produk dan khidmat dalam strategi penjenamaan.

“Usahawan yang telah berjaya akan diiktiraf sebagai Ikon Usahawan bagi memberi motivasi dan menyuntik semangat kepada individu lain yang berminat menceburi bidang keusahawanan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, beliau yakin dengan sinergi panel penasihat di setiap PEDi yang terdiri daripada wakil komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan peniaga akan memperkasa komuniti di kawasan luar bandar. Panel penasihat PEDi ini juga akan memantau kesemua aktiviti di setiap PEDi agar program-program yang dijalankan mendapat sambutan dan berimpak tinggi.

Bagi melengkapkan penyediaan ekosistem ekonomi digital ini, KKMM melalui MYNIC turut menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti program Kesedaran Keusahawanan Digital dan Latihan Intensif Keusahawanan Digital. Bimbingan yang intensif terbukti mampu memperkukuhkan keupayaan dan kapasiti  Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dalam penggunaan platform e-Dagang.

“Pada majlis pelancaran PEDi FELDA Kahang Barat ini juga, saya telah menyerahkan sebanyak 200 pek Pakej Remaja Keluarga Malaysia kepada para remaja di FELDA Kahang Barat.

“Di bawah pakej tersebut, golongan remaja akan mendapat data 20GB bagi tempoh selama tiga bulan,” katanya.

Beliau menambah, mudah-mudahan segala usaha yang direncanakan oleh Kerajaan akan memberi impak positif kepada kesejahteraan Keluarga Malaysia.

“Kerajaan akan terus komited dalam memastikan setiap rakyat mendapat capaian Internet terbaik sekaligus membolehkan mereka bersaing dalam dunia digital yang kian pesat,” katanya. – SM

 

(Visited 457 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button