Berita

Ajaran sunnah perlu dikaji, digali – Raja Muda Perlis

Dalam usaha mewujudkan masyarakat sejahtera, berilmu dan berdaya saing, selain merujuk dan berpegang kepada al-Quran, umat Islam juga perlu kepada ajaran Sunnah Nabi.

Ini kerana, Rasulullah SAW datang bersama sebuah risalah lengkap dengan pelbagai panduan dan pedoman untuk manusia menjalani kehidupan.

Setiap ajaran sunnah ini tidak seharusnya dibiarkan tanpa dikaji dan digali kandungannya bagi kepentingan kehidupan masyarakat di dunia dan di akhirat.

Ia juga menjadi antara sebahagian mekanisma bagi melonjakkan relevanisasi sunnah di mata masyarakat dalam usaha memupuk kesejahteraan Ummah dalam pelbagai aspek.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Seminar Warisan Nabawi (SWAN) Peringkat Antarabangsa Kali Ketujuh Tahun 2020’ yang diadakan pada hari khamis dan jumaat 29-30 Oktober 2020 secara telesidang pada petang ini.

Seminar melibatkan pembentangan sebanyak 99 kertas kerja termasuklah dari Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Indonesia, selain daripada Malaysia itu adalah anjuran Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)

Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs dan juga Tuanku Canselor KUIPs melihat penganjuran seminar seumpama SWAN 2020 ini amat penting dan signifikan sekali dengan dunia hari ini kerana Sunnah Rasulullah SAW hendaklah dijadikan sebagai teras perbincangan dalam menyelesaikan isu-isu bersifat semasa dan kontemporari. Ia akan menjadikan kita lebih menghayati peranan sunnah sebagai sumber kedua dalam syariat Islam sekaligus menjadi panduan dalam mengecapi keamanan dan kesejahteraan ummah.

SWAN juga merupakan satu usaha signifikan dalam memberi kefahaman tentang pentingnya berpegang teguh kepada ajaran Rasulullah SAW ke arah pembentukan keamanan khususnya dalam konteks masyarakat berbilang bangsa dan agama, serta membongkar ilmu dan penemuan terkini bersumberkan sunnah nabawiyah dalam menangani cabaran bagi mewujudkan kehidupan lebih harmonis dalam konteks masyarakat majmuk.

‘Kita juga dapat mengetahui dan memahami satu panduan komprehensif bersandarkan wahyu bagi melahirkan model kehidupan yang aman tanpa mengira agama mahupun bangsa’.

Tuanku Raja Muda juga berharap agar segala buah fikiran dan perkongsian oleh para pembentang tidak akan terhenti sekadar cetusan idea, teori dan resolusi semata, malah implimentasinya harus dijelmakan agar menjadi ‘resipi’ bagi menyelasaikan masalah dan menjadi manual kejayaan umat Islam dan dunia amnya.

Untuk rekod, tema seminar yang diadakan secara digital pada kali ini ialah “Peaceful Co-Existence in Religious Diversity from Prophetic Paradigm: Challenges and Opportunities”.

Antara para pembentang ucaptama yang diundang ialah Mufti Negeri Perlis Datuk Arif Perkasa Prof Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Rektor KUIPs Datuk Kaya Bakti Dr. Mohd Radzi Haji Othman dan Pengarah Institut Sains Islam USIM, Dr Ahmad Sanusi Azmi.

Terakhir sekali SWAN diadakan ialah pada Oktober 2018 di International University for Renewal (IUR), Istanbul, Turki yang turut dirasmikan oleh Tuanku Raja Muda.

(Visited 225 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button