Luar Negara

Kesilapan sistem – 101 warga Singapura di luar negara tak dapat mengundi

GARA-GARA kesilapan dalam sistem Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), 101 warga negara itu yang berada di luar negara, tidak dapat mengundi pada Pilihan Raya Umum (PRU) Singapura pada Jumaat depan, 10 Julai.

Menurut kenyataan bersama ICA dan Jabatan Pilihan Raya (ELD), kesilapan itu menyebabkan permohonan untuk mendaftar alamat kontak setempat (LCA) untuk tujuan mengundi tidak diproses.

ICA telah dimaklumkan oleh ELD pada 1 Julai lalu bahawa permohonan beberapa warga Singapura di luar negara untuk mendaftar LCA tidak diproses.

Warga Singapura yang menukar alamat pada kad pengenalan mereka kepada alamat di luar negara dan berhasrat untuk mengundi adalah diwajibkan memberi LCA menerusi laman web ELD.

Berikutan pemeriksaan oleh ICA, ia mendapati bagi beberapa kes, sistem itu gagal menjana salinan cetak untuk dihantar kepada pemilik LCA.

Oleh itu, ELD tidak menerima LCA yang disahkan bagi warga Singapura ini daripada ICA dan disebabkan itu, ia tidak menyenaraikan nama mereka dalam daftar pengundi.

Pada 13 Mac lalu, ELD mengumumkan bahawa senarai daftar pemilih dibuka untuk semakan dari 14 hingga 27 Mac untuk pengundi termasuk rakyat Singapura di luar negara.

Kenyataan itu memaklumkan dalam tempoh semakan, warga Singapura yang terjejas itu tidak membuat sebarang tuntutan kepada ELD untuk disenaraikan dalam daftar pemilih.

“Ini bermakna 101 warganegara ini tidak dapat mengundi dalam Pilihan Raya Umum memandangkan daftar pemilih disahkan pada 15 April 2020,” tambah kenyataan itu.

ICA meminta maaf kepada 101 warga Singapura yang terjejas oleh kesilapan itu dan sedang menghubungi mereka. – BERNAMA

(Visited 248 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button