Politik

PM ambil kira semua aspek sebelum bubar Parlimen – Mahdzir Khalid

PELBAGAI aspek akan diambil kira oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk dipertimbangkan sebelum membuat keputusan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurut Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid, ia termasuk soal kestabilan dan usaha pemulihan ekonomi negara untuk membantu meringankan beban rakyat.

“Dalam apa keadaan pun, bila kita hendak buat sesuatu keputusan itu perlu mengambil kira pelbagai aspek.

Begitu juga dalam soal PRU-15 ini, saya fikir Perdana Menteri sudah tentu akan mengambil kira pelbagai faktor atau aspek tertentu sebelum membuat keputusan untuk umumkan tarikh pilihan raya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Anggota Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Negeri Sembilan di Pusat Konvensyen Casa Lagenda, Paroi, Negeri Sembilan hari ini.

Perdana Menteri kata Mahdzir, sudah pasti akan meneliti keadaan dalam negara sebelum membuat keputusan berhubung tarikh PRU-15 diadakan. Beliau yakin keputusan itu akan dibuat apabila tiba waktu yang sesuai.

Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Khairy Jamaluddin turut hadir di Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Anggota Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Negeri Sembilan di Pusat Konvensyen Casa Lagenda, Paroi, Negeri Sembilan hari ini.

Media semalam melaporkan Ismail Sabri enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai spekulasi tarikh PRU-15 yang didakwa diawalkan susulan perbincangan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada Sabtu lalu.

Sebaliknya, Perdana Menteri meminta semua pihak supaya ‘menunggu’ mengenai tarikh pilihan raya umum itu.

Sementara itu, Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, sejumlah 387 Pengerusi JPKKP bagi Negeri Sembilan dilantik untuk sesi berkuatkuasa 1 Oktober 2021 hingga 30 September 2023.

Manakala 385 orang dilantik sebagai Setiausaha dan 4,001 orang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa.

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) memperuntukkan sejumlah hampir RM7 juta bagi bayaran elaun Pengerusi, Setiausaha dan Ahli Jawatankuasa JPKKP Negeri Sembilan tahun ini.

Majlis penyerahan watikah pelantikan hari ini turut dihadiri Menteri Kesihatan yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Sembilan, Khairy Jamaluddin, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias dan Pengerusi RISDA, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif. – SM

Artikel berkaitan > Dakwaan PM ditekan adalah cubaan untuk pecah belahkan kepimpinan UMNO

(Visited 260 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button