Ekonomi

Inflasi Filipina catat rekod 8.7 peratus pada Januari

INFLASI di Filipina meningkat kepada 8.7 peratus pada Januari, kenaikan bulanan tertinggi sejak November 2008, kata Penguasa Perangkaan Filipina (PSA) pada Selasa.

Pemacu utama dalam aliran menaik inflasi daripada 8.1 peratus pada Disember 2022 ialah peningkatan tahun ke tahun yang lebih tinggi bagi indeks perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain pada 8.5 peratus, kata ketua PSA Dennis Mapa pada sidang akhbar .

Mapa berkata, makanan dan minuman bukan alkohol turut menyumbang kepada kadar inflasi pada 10.7 peratus, dan restoran dan perkhidmatan penginapan pada 7.6 peratus.

Secara khususnya, elektrik dan sayur-sayuran, khususnya bawang, merupakan penyumbang utama kepada kenaikan inflasi, masing-masing menyumbang 1.1 mata peratusan, kata Setiausaha Pihak Berkuasa Ekonomi dan Pembangunan Negara Arsenio Balisacan.

Balisacan berkata, kerajaan telah menetapkan langkah jangka pendek termasuk menambah bekalan melalui pelonggaran sementara sekatan import, pemantauan harga, dan sokongan sosial yang disasarkan.

Dalam jangka sederhana hingga panjang, beliau menambah keutamaan terdiri daripada memastikan keselamatan makanan melalui produktiviti pertanian yang lebih tinggi dan keselamatan tenaga dengan meneruskan program peralihan tenaga dan pembangunan.

Kerajaan Filipina menjangkakan inflasi menjadi sederhana dari 2023 hingga 2024, dengan pemulihan global yang lebih perlahan daripada jangkaan dan permintaan dalam negeri yang semakin berkurangan.

Sementara itu, PSA berkata inflasi teras, yang tidak termasuk bahan makanan dan tenaga yang tidak menentu dalam inflasi utama, meningkat kepada 7.4 peratus pada Januari. – Xinhua

(Visited 179 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button