NasionalNegeri

Pemangku Raja Perlis rasmi penutupan Suara Dari Lembah Harapan

PEMANGKU Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan majlis penutupan program Suara Dari Lembah Harapan 2023 di Dewan Kecemerlangan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Kampus Pauh Putra, Arau hari ini.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dr. Hazami Jahari, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Abdul Aziz Abdul Razak dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar Dan Alumni) UniMAP, Prof Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan bertitah semasa merasmikan penutupan program Suara Dari Lembah Harapan 2023 di Dewan Kecemerlangan, UniMAP, Kampus Pauh Putra, Arau hari ini.

Program Suara Dari Lembah Harapan merupakan program yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dan UniMAP yang melibatkan penghuni penjara di bawah seliaan Jabatan Penjara Malaysia.

Objektif program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada para peserta dalam mencungkil bakat serta ekspresi diri melalui aktiviti kebudayaan dan kesenian.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan bergambar dengan para penganjur majlis penutupan program Suara Dari Lembah Harapan 2023 di Dewan Kecemerlangan, UniMAP, Kampus Pauh Putra, Arau hari ini.

Pemangku Raja Perlis turut berkenan untuk merman arman Bahan Penerbitan Antologi Puisi Minggu Penulis Sinar Harapan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah agar program yang bermakna seperti ini perlu dijadikan sebagai pemangkin kepada pelbagai program susulan yang bererti pada masa hadapan, dalam usaha pembentukan sahsiah dan jati diri kepada para peserta program ini.

Titah Baginda, hal ini amat penting bagi mempersiapkan dan memperkasakan diri para peserta untuk menghadapi cabaran sebenar ketika berhadapan dengan masyarakat selepas keluar dari pusat pemulihan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan mengurniakan replika cek kepada pemenang pertandingan deklamasi puisi sempena majlis penutupan program Suara Dari Lembah Harapan 2023 di Dewan Kecemerlangan, UniMAP, Kampus Pauh Putra, Arau hari ini.

Baginda menyeru agar semua yang hadir memandang para peserta yang terlibat dalam pelbagai pertandingan ini dengan mata hati yang penuh keikhlasan dan turut berpesan supaya buanglah segala stigma dan sangkaan buruk terhadap para peserta, agar masyarakat dapat bersama-sama menjadi “ejen” yang ampuh dalam usaha memperbaiki dan mengubah keperibadian mereka.

Di akhir majlis, Tuanku Pemangku Raja turut berkenan untuk mengurniakan hadiah kepada para pemenang bagi pertandingan-pertandingan bagi kategori Teater (Penjara Pusat Kota Kinabalu), Baca Naskhah (Penjara Sungai Petani), Deklamasi Puisi (Penjara Pengkalan Chepa), dan Lagu Puisi ( Penjara Kajang). – SM

(Visited 147 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button