Nasional

300 pengunjung sertai, hayati #QuranHour

HARI ini Program Keluarga Malaysia #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dengan visi Masuk Syurga Sekeluarga mendapat sambutan baik dalam kalangan pengunjung.

#QuranHour yang berlangsung kira-kira pukul 10.30 pagi dan berakhir pada pukul 12 tengah hari, berlangsung dengan penuh penghayatan ayat-ayat suci Al-Quran berkaitan dengan institusi kekeluargaan.

Program Keluarga Malaysia sempena 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dirasmikan semalam oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Pada petang ini juga, difahamkan Ismail Sabri akan melawat booth-booth pameran atau membuat walkabout di sini.

Berbalik kepada program #QuranHour, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, sempena program tersebut, ia mengajak orang ramai agar kembali kepada al-Quran dan sunnah sebagai rujukan dalam menjalani kehidupan.

Katanya, dengan berpandukan kepada al-Quran dan sunnah, dapatlah dilahirkan keluarga Muslim Malaysia yang mampu menjadi model kepada keluarga lain.

“Program ini mengangkat peranan seorang ayah sebagai pemimpin atau khalifah, ibu sebagai pendamping, anak sebagai pejuang atau jambatan manakala datuk dan nenek pula sebagai model untuk membina syurga di rumah.

“Seterusnya, bina syurga di rumah dan berjuang masuk syurga sekeluarga,” ujarnya.

Kira-kira 300 pengunjung sertai program #QuranHour yang menampilkan lima pentadabbur dan enam qari termasuk Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Dr. Nooh Gadut.

Program hari ini turut disertai oleh Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Jamil Khir berkata, Keluarga Malaysia secara ringkas adalah gagasan yang dibentuk oleh Perdana Menteri, merangkumi pelbagai bangsa, budaya, agama, anutan dan bahasa yang menghasilkan pembentukan Keluarga Malaysia. – SM

(Visited 313 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button