Politik

BN memang selesa jika Zahid tidak bertanding

BARISAN NASIONAL (BN) sekali lagi berada pada simpang dilema. Jika pada pilihan raya umum yang lalu Datuk Seri Najib Tun Razak selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN mengumumkan tidak bertanding, parti itu tidak tumbang ditolak rakyat.

Najib yang terbelenggu dengan skandal 1MDB bagaimanapun tetap berkeras untuk bertanding, bahkan yakin akan mencapai kemenangan dua pertiga.

Akhirnya apa yang diperkatakan oleh penganalisis politik adalah benar dan para penasihat politik Najib telah memberi nasihat yang salah.

Kini situasi yang sama bagaikan kembali atau dejavu. Kali ini ia menagih pengorbanan seorang lagi Presiden UMNO dan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Penganalisis politik berpandangan untuk menang, Zahid perlu berkorban dengan tidak bertanding kerana langkah itu akan menarik pengundi di atas pagar. Apatah lagi pada  kali ini jumlah pengundi baharu adalah sangat besar dan mereka tidak mahu sebuah kerajaan yang dipimpin oleh ahli politik yang terkait dengan pelbagai tuduhan salah guna kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram.

Penganalisa politik, Azizi Safar berkata, gabungan itu boleh mengambil langkah berani dengan pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak bertanding.

“Kalau Zahid tak bertanding, BN akan dapat lebih sokongan.

“Pada masa ini ada yang sokong BN tetapi tidak mahu keluar mengundi kerana faktor Zahid yang masih dilihat mungkin menjadi Perdana Menteri selepas PRU15 jika BN menang,” katanya sebagaimana lapor MalaysiaNow.

Zahid yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjadi kunci utama pembubaran Parlimen, selepas berkali-kali mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pilihan raya pada tahun ini juga, sekali pun ada kebimbangan mengenai cuaca buruk dan banjir.

Beliau baru-baru ini dilepaskan daripada 40 pertuduhan kes rasuah sistem visa luar negara (VLN), namun masih berdepan dengan pertuduhan membabitkan wang daripada Yayasan Akalbudi.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli turut menyatakan keperluan Pakatan Harapan (PH) untuk memenangi 30 peratus daripada 60 peratus undi atas pagar.

Kajian Universiti Yale baru-baru ini mendapati 33.4 peratus pengundi berada di atas pagar.

Universiti itu turut menganggarkan kira-kira 28.1 peratus undi popular untuk BN, 9.9 peratus Perikatan Nasional (PN) dan 24.4 peratus untuk PH.

Baki 4.2 peratus undi popular akan pergi kepada lain-lain parti.

Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad antara pemimpin BN yang mengumumkan tidak bertanding bagi membersihkan namanya di mahkamah.

Bekas ahli Parlimen Johor Bahru itu didakwa atas kegagalan mengisytiharkan RM1 juta yang diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Beliau satu-satunya pemimpin dalam “kluster mahkamah” yang mengumumkan tidak bertanding.

Menurut Azizi, pada PRU14 lalu majoriti pengundi sudah membuat keputusan untuk menyokong parti mana jauh lebih awal daripada tarikh pembubaran Parlimen kerana isu-isu yang berlegar semasa itu, antaranya 1MDB dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Azizi berkata kali ini golongan atas pagar mengambil sikap tunggu dan lihat.

Ada antara mereka yang serik akibat “salah mengundi” pada PRU14.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kartini Aboo Talib berkata, PRU14 tahun lalu menyaksikan pengundi atas pagar berada dalam julat 37 peratus hingga 40 peratus, namun mencatatkan jumlah keluar undi yang tinggi (82.3 peratus)berbanding PRU13, iaitu sebanyak 76 peratus.

“Pengundi atas pagar akhirnya tidak berada di atas pagar selamanya kerana mereka harus membuat pilihan. Mungkin mereka mengambil masa sebelum membuat keputusan untuk memilih.

“Bagusnya golongan ini dalam konteks sebelum pilihan raya ialah ialah membolehkan spekulasi berlaku dan tercari-cari gabungan mana yang bakal membentuk kerajaan,” katanya.

Menurut beliau, golongan itu dijangka akan menumpukan isu-isu peluang pekerjaan, bantuan profesional dan tunai, “gig economy”, pinjaman pendidikan dan perumahan.

“Semua perkara asas memastikan cukai rakyat digunakan untuk kesejahteraan rakyat dan tidak menyalahguna cukai rakyat untuk kepentingan peribadi pemimpin.”

Azizi pula berkata, isu yang bakal membawa hayunan undi mereka termasuklah tawaran dan kepimpinan baru, termasuk Kabinet bayangan dan calon Perdana Menteri.

“Segmen pengundi 40 tahun ke bawah melebihi 40 peratus, mereka boleh jadi penentu parti dan gabungan mana yang akan menang.

“Orang-orang muda mahu keseimbangan kerja dan kehidupan, jaminan pekerjaan, dan kestabilan pendapatan,” katanya lapor portal itu lagi.

(Visited 423 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button