NasionalNegeri

Wanita disaran sertai perniagaan francais tingkat taraf hidup – Raja Puan Muda

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bertitah supaya masyarakat khususnya golongan wanita terus dikurniakan keazaman yang jitu untuk bersama-sama meningkatkan taraf dan kualiti hidup diri dan keluarga tersayang menerusi penglibatan dalam perniagaan francais.

Demikian titah Baginda ketika berkenan menutup Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) ‘Women In Search of Excellence (WISE)’ bertajuk “Pendaftaran dan Pembangunan Perniagaan Francais” yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Raja Puan Muda yang juga Pengerusi Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) disembahmaklumkan bahawa pihak KPDNHEP kini giat mempromosi perniagaan francais melalui Program Jelajah Francais Bay yang telah dilaksanakan di peringkat negeri.

Setakat ini penganjuran program berkenaan telah berjaya menarik minat masyarakat setempat bagi memperoleh khidmat nasihat dan telah mengemukakan hasrat untuk menjadi francaisi.

Tuanku Hajah Lailatul Shahreen bertitah, “Galakan penyertaan daripada golongan masyarakat termasuklah kaum wanita perlu diteruskan agar perniagaan francais berkembang dan pada masa yang sama didedahkan dengan sistem-sistem perniagaan francais, pakej-pakej latihan dan pembiayaan yang disediakan kerajaan,”.

Titah Baginda lagi, wajar peluang ini direbut dalam usaha meningkatkan taraf ekonomi diri dan keluarga tersayang masing-masing.

Untuk rekod, Akta Francais 1998 yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP adalah menjadi medium kepada pengukuhan sistem pendaftaran francais yang sistematik bagi memastikan pembangunan industri francais dalam negara adalah berdaya tahan dan mampan.

Perundangan dalam negara akan menjadi pelengkap kepada ekosistem perniagaan francais untuk terus berkembang dalam persekitaran yang sihat, teratur dan mencapai perdagangan yang adil.

Pada kesempatan yang sama,
Raja Puan Muda juga mengucapkan penghargaan kepada Ketua Setiausaha KPDNHEP, Datuk Azman Mohd Yusof.

Ini berikutan di atas segala inisiatif beliau yang turut dibantu barisan panelis dan moderator serta pasukan sokongan di sebalik tabir bagi menjayakan webinar ini yang seiringan dengan slogan “Perniagaan Francais Menjana Ekonomi”, “Memartabatkan Pembangunan Negara”.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Penasihat DiRaja YTF telah berkenaan melakukan perasmian Pembukaan Webinar YTF ini. – SM

(Visited 154 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button