NasionalPolitik

Muhyiddin tunggu apa lagi, sokongan majoriti tiada – Keadilan

KETIKA golongan Adam sedang mengerjakan solat Jumaat mengikut SOP yang ditentukan, berlegar kenyataan media daripada Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin berhubung kenyataan Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa mendapat sokongan majoriti daripada Ahli-Ahli Parlimen termasuk Ahli Parlimen UMNO untuk membolehkan Anwar Ibrahim (AI) membentuk kerajaan baharu dan sekali gus, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh Perdana Menteri sekarang, Tan Sri Muhyiddin Yassin, diketepikan.

Menurut Shamsul Iskandar yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya menerusi kenyataannya itu, PKR sangat yakin bahawa Muhyiddin sendiri sedar, beliau telah kehilangan sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen.

“Memandangakan sokongan penuh Ahli-Ahli Parlimen UMNO kepada Muhyiddin sebelum ini, Muhyiddin hanya selisih majoriti dua orang Ahli Parlimen sahaja.

“Kesedaran kehilangan sokongan majoriti ini turut diperkuatkan lagi dengan pengakuan Muhyiddin sendiri yang memohon untuk Anwar Ibrahim membuktikan sokongan majoriti beliau menurut proses dan kaedah yang ditentukan oleh Perlembagaan Persekutuan sebagai satu proses formaliti,” ujar Shamsul Iskandar.

Beliau juga bagi pihak PKR (Keadilan) memberitahu, sebarang cubaan oleh mana-mana pihak untuk menghalang pertemuan di antara Anwar Ibrahim dengan Yang di-Pertuan Agong sebagaimana yang telah diperkenakan oleh Baginda, adalah satu tindakan melampau batas dan tidak menjunjung amalan demokrasi.

Kata Shamsul Iskandar lagi, halangan itu sangat bertentangan dengan hasrat Seri Paduka Baginda yang jelas membuka pintu kepada rakyat di samping meneliti dengan terperinci, segala isu berkaitan dengan Perlembagaan sebagaimana ketika proses pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8.

Katanya, Keadilan menghormati pandangan daripada tokoh-tokoh Perlembagaan dan para ahli akademik tempatan namun Keadilan menegaskan, hasrat Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang untuk mempersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, bukti senarai nama-nama Ahli-Ahli Parlimen yang telah menyatakan sokongan mereka, sokongan majoriti kepada Anwar dan semua pihak wajar menghormatinya.

“Faktanya ialah Muhyiddin telah kehilangan sokongan majoriti Ahli Parlimen. Secara perundangan, Muhyiddin telah kehilangan keabsahan sebagai Perdana Menteri Malaysia.

“Oleh yang demikian, Muhyiddin sewajarnya berundur secara meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia dengan cara terhormat memandangkan sokongan majoriti Ahli Parlimen kini telah pun beralih kepada Anwar Ibrahim” tegas Shamsul Iskandar.

AHMAD ZAHID HAMIDI

Dalam kenyataannya, Shamsul Iskandar turut memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Kata Shamsul Iskandar, kenyataan Zahid Hamidi dengan jelas dan terang bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak dapt menghalang Ahli-Ahli Parlimen mereka yang mengambil keputusan untuk menyokong Anwar Ibrahim.

“Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam kenyataan media beliau juga memaklum bahawa Ahli-Ahli Parlimen UMNO yang menyatakan sokongan tersebut adalah dalam satu jumlah yang ramai,” ujar Shamsul Iskandar.

Urutan daripada kenyataan terbuka oleh Zahid Hamidi itu, kata Shamsul Iskandar, Keadilan sangat yakin, Muhyiddin telah sendirinya sedar, beliau telah kehilangan sokongan Ahli-Ahli Parlimen.

Untuk rekod, pada 23 September lalu (kelmarin, Rabu tengah hari), Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa beliau telah mendapat sokongan yang kukuh dan meyakinkan daripada Ahli-Ahli Parlimen untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sebelum sidang akhbar berkenaan, Anwar telah pun memohon untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada hari Selasa lalu, 22 September.

Namun terpaksa ditangguhkan disebabkan pihak Istana melalui satu kenyataan media, memaklumkan pertemuan itu walaupun telah diberikan perkenan, terpaksa ditangguhkan kerana keadaan kesihatan Yang di-Pertuan Agong yang mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN). – SM

 

(Visited 329 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button