Nasional

Sistem kutipan tol tanpa henti menjelang 2025, kurangkan kesesakan di plaza tol – Fadillah

Kementerian Kerja Raya akan memperkenalkan sistem kutipan tol tanpa henti yang dikenali sebagai Multi-Lane Free Flow (MLFF) menjelang 2025 dalam usaha mengurangkan kesesakan di plaza tol.

Menteri Kerja Raya Kanan Datuk Seri Fadillah Yusof berkata cadangan itu telah diluluskan oleh Kabinet, sambil menambah dengan pelaksanaan MLFF, kenderaan tidak perlu beratur atau berhenti untuk menjalankan transaksi tambang tol.

“Langkah seterusnya ialah berunding dengan semua syarikat konsesi tol bagaimana ia akan dilaksanakan bagi memberi kemudahan kepada pengguna lebuh raya.

“Selepas itu, kita akan melihat bagaimana untuk mengintegrasikan sistem MLFF di mana kita akan mewujudkan pusat arahan yang diuruskan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) yang perlu disepadukan dengan semua majlis perbandaran atau bandar raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi bersama media di sini semalam yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup.

Beliau berkata MLFF merupakan salah satu inisiatif di bawah Pelan Induk Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) kementerian 2019-2023 yang dibangunkan untuk meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya dan memacu pembangunan aplikasi IPS di negara ini.

Selain itu, Fadillah berkata kementeriannya juga telah memulakan proses membangunkan alat penimbang berat kenderaan (weigh-in-motion) bagi mengesan lori lebih muatan yang boleh menyebabkan kesesakan dan kerosakan jalan.

Katanya, ia bagi mengesan had muatan secara automatik dan tindakan undang-undang akan diambil serta-merta terhadap pemilik kenderaan atau syarikat berkenaan.

 

(Visited 412 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button