Kemalangan

Tiga pekerja konsesi lebuh raya cedera lori hilang kawalan

Seorang parah dan dua lagi mengalami kecederaan selepas lori muatan ringan milik syarikat konsesi lebuh raya dinaiki terbabas merempuh pembahagi jalan di Kilometer 189.2 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan awal pagi tadi.

Dalam kemalangan pukul 8.00 pagi itu, penumpang lori berusia 26 tahun parah di bahagian kaki manakala pemandunya berusia 45 tahun dan seorang lagi penumpang
berusia 24 tahun cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa dalam perjalanan dari Ayer Keroh menghala ke Tangkak.

Katanya, sejuru tiba di lokasi kejadian kenderaan dinaiki hilang kawalan dan terbabas sebelum melanggar pembahagi jalan di bahagian kiri lebuh raya tersebut.

“Ketiga-tiga mangsa adalah pekerja sebuah syarikat konsesi lebuh raya yang kebetulan mereka baru pulang selepas membantu melancarkan laluan kemalangan membabitkan dua buah lori dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Kilometer 198.2 arah selatan.

“Ekoran kemalangan tersebut telah menyebabkan berlakunya kesesakan teruk sejauh tujuh kilometer,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Jamil berkata, mangsa yang parah dihantar ke Hospital Melaka manakala dua mangsa yang cedera ringan mendapat rawatan di Hospital Jasin untuk rawatan lanjut.

“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – SM

Sebuah lori remuk teruk selepas terbabas melanggar pembahagi jalan menyebabkan seorang parah dan dua lagi cedera ringan di KM189.2 PLUS arah selatan.

(Visited 31 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button