Nasional

Teruja berbuka puasa di pantai Klebang

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 17 April – Kawasan tumpuan pelancong di pesisir pantai Dataran 1Malaysia Klebang di sini menjadi
tumpuan orang ramai menyertai majlis berbuka puasa Iftar Jamaie anjuran UMNO Bahagian Tangga Batu, petang semalam.

Sejak umat Islam menyambut Ramadan, pantai berkenaan sepi tanpa kunjungan orang ramai begitu juga
pelancong domestik luar dari negeri ini.

Begitupun, petang semalam, pantai berkenaan kembali meriah dengan kereta berpusu-pusu memasuki kawasan
pantai manakala kelihatan orang ramai yang berkeluarga mengepit tikar serta membawa juadah untuk berbuka
puasa di kawasan pantai itu.

Sejak pukul 6.00 petang, orang ramai mula mencari ruang sesuai di kawasan pantai untuk membentangkan tikar
dan meletakkan juadah berbuka puasa.

Jelas di wajah mereka terpacar kegembiraan yang tidak terungkap berada di pantai untuk berbuka puasa
menyertai orang ramai.

Program berkenaan benar-benar menarik perhatian orang ramai termasuk dari luar negeri ini yang kebetulan
berkunjung ke sini pada cuti hujung minggu untuk berbuka puasa di kawasan persisir pantai.

Orang ramai menunaikan solat Tarawih di kawasan pantai Dataran 1Malaysia Klebang.

Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad melahirkan rasa syukur program yang
dianjurkan buat julung-julung kali itu mendapat sambutan.

Menurutnya, sejak pukul 6.00 petang orang ramai yang membawa ahli keluarga masing-masing sudah mula
membentangkan tikar di kawasan pantai berkenaan.

“Saya sangat teruja melihat sambutan daripada mereka mungkin ini pertama kali program berbuka puasa dibuat
di persisir pantai.

“Insyallah, melihat kepada sambutan mungkin kita akan adakan lagi majlis Iftar Jamaie dengan berskala
lebih besar serta lebih menarik,” ujarnya ketika ditemui di sini semalam.

Kegembiraan orang ramai teruja dapat berbuka puasa di Dataran 1Malaysia, Klebang.

Menurut Mohamad Ali, pihaknya juga turut menyediakan pelbagai jenis minuman sejuk dan panas, kuih-muih,
bubur lambuk dan mee goreng yang dimasak di situ.

Ujarnya, selain berbuka puasa turut diadakan solat Maghrib, Isyak dan Tarawih di kawasan pantai yang
dipimpin oleh Imam, Shukor Bunjamin dari Madrasah An-Najjah, Bera, Pahang.

Sementara itu seorang pengunjung, Zainal Ahmad, 45, dari Bukit Katil berkata, dia tidak melepaskan peluang
apabila mendapat tahu majlis berbuka puasa beramai-ramai diadakan di pesisir pantai Dataran 1Malaysia,
Klebang.

“Alhamdulillah, seronok dapat berbuka puasa di kawasan pantai. Saya bawa anak dan isteri dan mereka juga
sangat teruja dan berharap majlis ni kerap diadakan pada hujung minggu,” ujarnya.

Begitu juga buat Rozilan Kamal, 50, dari Kuala Lumpur berkata, dia menyertai majlis berkenaan yang
kebetulan berada di negeri ini sejak kelmarin.

“Apabila dapat tahu ada penganjuran majlis berbuka puasa di kawasan pantai kami sekeluarga sangat teruja.
Seronok sebenarnya dapat berbuka di kawasan pantai dengan orang ramai di samping menunaikan solat di
sini,” ujarnya.

 

(Visited 582 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button