Nasional

Penolong pegawai perubatan tuntut diserap lantikan tetap

BELUM selesai isu lantikan tetap doktor kontrak dalam Kementerian Kesihatan kini kumpulan penolong pegawai perubatan (PPP) lantikan Gred U29 pula menuntut perkara yang sama.

Seperti yang digerakkan kumpulan Hartal Doktor Kontrak di seluruh negara sebelum ini, PPP juga akan mengadakan siri tunjuk perasaan bagi memperjuangkan lantikan mereka, selain beberapa manfaat lain tidak diperoleh kerana berstatus ‘kontrak’.

Seorang PPP kontrak yang enggan dikenali berkata kepada FMT, kebanyakan daripada mereka akan menamatkan perkhidmatan kontrak, esok.

Mengulas lanjut, sumber berkata, kewajaran melantik mereka ke jawatan tetap kerana semua PPP kontrak kerajaan dan swasta masih berjuang melawan Covid-19 bertugas di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC), Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan zon sindrom pernafasan akut teruk (SARI).

Katanya, mereka juga terbabit dalam Pasukan Bertindak Khas (RRT) iaitu bertugas mengambil pesakit positif Covid-19 di rumah pesakit dan dihantar ke pusat-pusat kuarantin.

“Adalah tidak adil ketika kami semua sudah berjuang dan hampir mencapai kemenangan, kami dibuang begitu sahaja seolah-olah penat lelah kami curahkan kepada masyarakat tidak berguna,” katanya menurut laporan Utusan pula.

Justeru katanya, protes tersebut akan dilancarkan melalui akaun media sosial Facebook penolong pegawai perubatan masing-masing dengan menukar gambar profil hitam berserta kapsyen ‘Kami Mahu Lantikan Tetap’ dan ‘Kami Masih Ingin Berkhidmat’ selain menyerahkan petisyen rasmi kepada kerajaan.

“Tiada himpunan atau bantahan secara fizikal dibuat bagi mengelakkan aktiviti berkumpulan kerana prosedur operasi standard (SOP) masih berjalan.

“Kami mahu menjadi contoh kepada masyarakat yang kami masih mahu menyumbang khidmat bakti kepada masyarakat dan negara.

“Jika pandemik Covid-19 berjaya ditangani, maka kerajaan berhak menamatkan perkhidmatan kami, tetapi sekarang belum pasti jika kita berjaya membasmi penularan wabak sepenuhnya.

“Pusat kuarantin masih dibuka, proses penghantaran pesakit, ujian calitan RTK dan PCR masih rancak dilakukan. Bayangkan jika lebih ramai khidmat PPP ditamatkan dan tercetus satu lagi bencana wabak, maka negara akan kekurangan petugas kesihatan,” ujarnya panjang lebar.

Menerusi data diberikan oleh sumber, sejumlah 4,300 penolong pegawai perubatan telah direkrut kerajaan sejak sistem kontrak diperkenalkan pada 2018, menyaksikan 3,400 tajaan Kementerian Kesihatan dan 900 lagi dilantik daripada kolej-kolej swasta.

Khidmat kontrak PPP terbahagi kepada lapan fasa, menyaksikan Fasa 1 sudah diserap secara tetap, Fasa 2 dan Fasa 3 ada yang dilanjutkan dan ditamatkan perkhidmatan manakala Fasa 4 ke atas turut terjejas kerana ada yang akan menamatkan kontrak Mac ini.

Bagaimanapun dalam perkara 12 syarat-syarat pelantikan perkhidmatan kontrak pegawai di bawah Skim Perkhidmatan Paramedik dan Auksiliari Gred UD29 menyatakan, kerajaan tidak wajib melantik pegawai ke jawatan tetap dalam perkhidmatan awam dan sebarang permohonan bagi maksud lantikan tetap perlu dibuat terus kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA). – SM

(Visited 431 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button