Politik

Skandal LCS akan didedahkan dalam tempoh sebulan

DALAM tempoh sebulan, skandal skandal penyelewengan projek enam kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion akan didedahkan. Itu kata Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Katanya, beliau akan menunjukkan satu persatu penyelewengan itu, termasuk penubuhan syarikat palsu yang didakwa untuk melarikan wang.

“Modus operandi tak ubah macam 1MDB. Masaklah Najib (Razak) kali ni. Biar dia jawab bagaimana pertahanan negara jadi lemah semasa dia jadi perdana menteri, selama ini dia fitnah kononnya semua orang jual aset negara,” kata Rafizi dalam catatan di akauan Facebook beliau, semalam.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan ke atas pembelian LCS kini di peringkat akhir .

Dan pihaknya perlu merujuk Jabatan Peguam Negara serta beberapa pihak berkaitan sebelum mendedahkan hasil siasatan.

Terdahulu,  bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula menerusi catatan di Facebook semalam mendakwa, Pakatan Harapan (PH) melewatkan dan membekukan sepenuhnya projek LCS pada 2019.

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil kemudiannya membidas tindakan Najib menyalahkan PH dalam isu itu tanpa menyedari kesalahan sendiri ketika berkuasa.

Fahmi mempersoalkan mengapa Najib yang merupakan perdana menteri ketika itu tidak mendengar teguran dibuat oleh bekas panglima tentera laut, Abdul Aziz Jaafar berhubung masalah perolehan kapal itu.

Khamis lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan Kementerian Pertahanan dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) tidak menghiraukan pandangan tentera laut mengenai projek LCS.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, pada asalnya, kapal model Sigma yang dipilih TLDM telah diluluskan Kementah tetapi ia ditukar kepada model Gowind pada 11 Julai 2011 atas cadangan BNS pada 8 Julai 2011.

Katanya, tiada sebuah pun LCS diserahkan kepada kerajaan sehingga kini walaupun RM6.08 bilion sudah dibayar kepada BNS yang mendapat projek itu secara rundingan terus.

Mengikut jadual asal, BNS sepatutnya menyerahkan lima unit LCS sejak 2013 hingga bulan ini kepada kerajaan. – SM

 

(Visited 266 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button