Nasionalpilihan

JPJ sita lori seludup minyak diesel bersubsidi

Sebuah lori yang telah diubah suai untuk aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi berjaya disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam operasi bersepadu di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) di sini malam tadi.

Pengarahnya, Mohd Firdaus Shariff berkata, sewaktu pemeriksaan ke atas lori berkenaan pihaknya berjaya menemui sebuah tangki kosong bersaiz besar dipercayai untuk diisi minyak diesel di bahagian dalam kenderaan
itu.

Menurutnya, kenderaan terbabit yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 30-an dipercayai dalam perjalanan untuk mengisi diesel di stesen minyak berdekatan.

“Bila kita periksa ada sebuah tangki besar yang mampu mengisi sebanyak 3,000 liter diesel tetapi didapati ia kosong.

“Kenderaan ini melakukan kesalahan pengubahsuaian kenderaan di mana ia meletakkan tong minyak diesel dan muatan itu tak sesuai untuk kenderaan ini kita akan semak secara teknikal beberapa kesalahan lain,” ujarnya
kepada pemberita selepas tamat operasi di sini malam tadi.

Firdaus berkata, pemandu terbabit juga turut melakukan kesalahan kerana tidak memiliki lesen pengangkutan barang (GDL) dan lori berkenaan disita di bawah Seksyen 12 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan mengubahsuai tanpa kebenaran.

Katanya, kes tersebut akan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka untuk tindakan lanjut.

Dalam ops bersepadu itu beliau berkata, sebanyak 275 saman dikeluarkan terhadap 132 pemandu dan penunggang motosikal kerana melakukan pelbagai kesalahan.

“Motosikal kekal menjadi kenderaan paling banyak dikenakan tindakan saman iaitu 71 buah atas kesalahan tiada cukai jalan, lesen dan ubah suai kenderaan,” ujarnya.

Turut dikenakan saman katanya, seorang pemandu sebuah bas ekspres berusia 40-an kerana didapati tidak mempunyai permit memandu kenderaan berat terbabit.

Dalam operasi selama tiga jam yang berakhir 11 malam itu, sebanyak 755 kenderaan persendirian dan perdagangan diperiksa.

Seramai 86 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi berkenaan selain JPJ turut membabitkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Imigresen. – SM

 

(Visited 22 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button