Nasional

Pembinaan sistematik tingkat jumlah penyiapan rumah mesra rakyat

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT),  Akmal Nasrullah Mohd Nasir, telah mengadakan
lawatan turun padang serta menyempurnakan sesi penyerahan kunci rumah bagi Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) di bawah seliaan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Negeri Selangor hari ini.

Bermula tahun 2021, SPNB telah memperkenalkan sistem binaan berkala bagi Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) di seluruh negara dengan penggunaan reka bentuk pembinaan yang seragam dan kaedah pembinaan yang lebih sistematik.

Menerusi kaedah ini, keluasan RMR telah diselaraskan dengan saiz program perumahan bersubsidi yang lain di bawah KPKT pada 750 kps di seluruh negara bermula tahun 2022. Sebelum ini, RMR mempunyai perbezaan dari segi keluasan mengikut lokaliti; 650 kps bagi RMR di kawasan pulau, 850 kps bagi RMR Sabah dan Sarawak serta 1,000 kps bagi RMR di Semenanjung.

Penyelarasan saiz ini turut dilaksanakan SPNB bagi mendepani keadaan sektor pembinaan yang kian mencabar
akibat dari masalah kenaikan harga bahan binaan dan tenaga buruh.

Menurut Timbalan Menteri, SPNB juga telah memperkenalkan 6 reka bentuk baharu bagi Program RMR ini yang boleh dipilih mengikut kesesuaian luas tapak pemohon.

“Saya yakin menerusi reka bentuk baharu ini, penerima RMR akan berbangga dengan memanggil RMR ini sebagai rumah kediaman impian mereka. Hal ini demikian kerana, SPNB mengambil inisiatif untuk menghasilkan reka bentuk baharu ini menerusi maklumat dan maklumbalas yang diterima dari pemohon-pemohon RMR, di samping mengekalkan ciri-ciri kediaman berdayahuni dan kondusif iaitu tiga bilik tidur dan dua bilik air bagi setiap unit RMR tersebut.

“Bagi kaedah pembinaan pula, SPNB telah menambahbaik proses pembinaan unit RMR ini kepada sistem yang lebih sistematik. Selepas pemasangan tiang dilakukan, kontraktor pembinaan RMR akan menyiapkan bumbung terlebih dahulu sebelum kerja-kerja dinding dan lantai dilakukan.

“Menerusi proses ini, kontraktor dapat  meneruskan kerja-kerja pembinaan dalam keadaan yang selesa dalam  apa jua cuaca sekalipun, sekaligus mempercepatkan tempoh penyiapan RMR,” ujar beliau lagi.

Dalam pada itu, langkah yang diambil SPNB ini juga akan menjimatkan kos buruh yang bakal memberi kesan positif kepada pihak kontraktor dalam mencatat keuntungan dan membolehkan mereka membina lebih banyak unit RMR.

Bagi negeri Selangor bermula tahun 2019 sehingga 2023 pula, SPNB telah berjaya membina sebanyak 902 unit RMR dengan jumlah 294 unit sedang dalam pembinaan.

Sementara itu, jumlah keseluruhan pembinaan RMR yang telah siap dibina di seluruh negara berjumlah 58,425 unit.

SPNB sentiasa memberikan komitmen bagi memastikan projek-projek penyediaan perumahan kepada seluruh rakyat di bawah seliaan KPKT diberi keutamaan dalam memperkasa agenda perumahan serta kesejahteraan seluruh rakyat menerusi kerangka Malaysia Madani. – SM

(Visited 42 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button